
KUALA LUMPUR: Kekal merendah diri meskipun sudah bergelar penerbit, pelakon, Syafiq Kyle memaklumkan keputusannya untuk menceburi bidang itu bukanlah bayangan dirinya bakal memperlahakan kerjaya lakonannya.
Menurut Syafiq, langkah itu bertujuan memberinya lebih banyak peluang menghasilkan karya sendiri, selain membuka ruang kerjasama dengan bakat baharu dalam industri seni.
“Bagi saya, menjadi penerbit bukan bermakna saya mahu berhenti berlakon. Ia lebih kepada perubahan cara berfikir dan pendekatan dalam kerjaya.
“Kalau kita lihat figura seperti Stephen Chow, mereka menjadi penerbit kerana mahu mempunyai lebih banyak peluang untuk berlakon, bukannya mahu berhenti berlakon.
“Daripada hanya menunggu tawaran, lebih baik kita menghasilkan karya sendiri. Pada masa sama, kita boleh membuka peluang kepada individu berbakat lain, bukan sahaja di hadapan kamera tetapi juga di belakang tabir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pelakon filem Sheriff: Narko Integriti itu mengakui dirinya sentiasa mahukan kepuasan dalam berkarya tanpa terus merungut mengenai kekurangan yang dihadapi sesebuah produksi.
“Kita perlu berhenti merungut. Kalau 10 tahun lalu, kita sering mendengar rungutan mengenai bayaran yang rendah, kualiti drama atau filem serta pelbagai perkara lain dalam industri.
“Jadi, daripada terus merungut, lebih baik kita cuba hasilkan karya sendiri. Kalau rugi, kami sama-sama menanggung kerugian. Kalau untung, kami sama-sama menikmati hasilnya,” jelasnya.
Berkongsi mengenai permulaan kerjayanya sebagai penerbit, Syafiq berkata segalanya bermula selepas menjalin hubungan baik dengan pengarah Ariff Zulkarnain ketika bekerjasama dalam beberapa projek lakonan.
“Saya mula mengenali Ariff ketika menjalani penggambaran Shiba Shiba Doo sebelum kami bekerjasama dalam One Cent Thief.
“Saya suka cara kerja dan personalitinya. Lama-kelamaan, kami menjadi semakin serasi sebelum dia mengajak saya menjadi rakan kongsi dalam syarikat produksinya,” kongsinya.
Tambah Syafiq, kerjasama itu kemudian membawa kepada penerbitan telefilem Doh sekitar tahun 2020 atau 2021, sekali gus menjadi titik permulaan penglibatannya dalam bidang penerbitan.
Mengakui tidak pernah menyimpan hasrat menjadi penerbit pada awal kerjaya, Syafiq menjelaskan keinginan itu hanya timbul selepas hampir sedekad bergelar pelakon.
“Selepas hampir lapan atau sembilan tahun berlakon, saya mula terfikir kalau menjadi penerbit, mungkin lebih mudah untuk saya menghasilkan cerita mengikut apa yang saya mahukan.
“Bagaimanapun, saya masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Kalau boleh, saya mahu kekal merendah diri dan tidak terlalu menonjol dalam bidang penerbitan,” ujarnya.
The post Jadi penerbit bukan bermakna saya mahu berhenti berlakon – Syafiq Kyle appeared first on Utusan Malaysia.


