‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’

EntertainmentLifestyle
9 Nov 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’

NAMA Syafiq Kyle boleh dikatakan sudah berada dalam kelas tersendiri. Sejak mula terjun ke industri sekitar 2008, pelbagai aksi lakonannya melekat di hati penonton, ditambah dengan pesona wajahnya yang sentiasa menjadi kegilaan peminat wanita tanah air.

Namun, selepas hampir dua dekad aktif membintangi pelbagai naskhah hebat, Syafiq kini mengambil langkah ke hadapan dengan meneroka sisi baharu dalam industri apabila bergerak sebagai penerbit bawah syarikat produksinya sendiri, Indigo Films.

Menceritakan detik awal pembabitannya di kerusi produser, pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak mendedahkan semuanya bermula secara tidak dirancang sewaktu dia bekerjasama dengan pengarah, Ariff Zulkarnain.

“Saya mula menjalani penggambaran dengan dia dalam telefilem Shiba Shiba Doo, selepas itu saya kenal dengan dia.

“Dia kemudian panggil saya untuk One Cent Thief dan kami pun ‘click’. Dia ajak saya bekerjasama dalam produksi dia.

“Ada suatu ketika, dia beritahu dia ada cerita dan ajak saya terbitkan, akhirnya terhasillah filem Doh. Itu satu percubaan yang comellah untuk saya,” katanya kepada HibGlam.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’
SYAFIQ Kyle berharap akan lebih banyak berkarya dan bekerjasama dengan lebih ramai pengarah serta pelakon handal bawah produksinya selepas ini.

Ujar pelakon berusia 34 tahun itu, keputusan beralih arah ke belakang tabir tercetus secara semula jadi selepas hampir sembilan tahun mendalami selok-belok dunia lakonan.

Katanya lagi, menjadi penerbit memberikannya kebebasan untuk menghasilkan karya seni yang benar-benar dekat di hati.

“Saya rasa permulaan yang baik untuk saya dan Ariff mulakan dengan sesuatu yang kecil.

“Tak ada niat pun tapi bila dah proses jadi pelakon hampir sembilan tahun tiba-tiba terfikirlah nak jadi penerbit.

“Kalau jadi penerbit lebih senang nak buat cerita yang saya nak. Maksudnya tak perlu persoalkan kenapa jalan cerita begini atau begitu,” ujarnya.

Meskipun memegang tanggungjawab besar, pada peringkat, bintang filem Malaikat Malam itu memilih untuk tidak terlalu menghebahkan peranan baharunya kepada umum kerana sedar masih banyak ilmu yang perlu ditimba.

“Dalam penerbitan, saya ambil pendekatan untuk tidak terlalu beritahu kepada orang.

“Bila orang tahu, alhamdulillah. Cuma banyak lagi benda saya kena belajar yang membuatkan saya berat nak ke depan.

“Sebab itu saya perlukan Ariff sebagai pengarah. Kalau saya seorang, saya rasa tak boleh nak buat apa-apa,” jelasnya.

Tambahnya, dia lebih selesa bekerja di dalam zon yang dikawal sendiri demi memastikan kualiti produk yang dihasilkan benar-benar kukuh.

“Saya kalau boleh nak ‘low profile’ dalam produksi sebab bila saya jadi penerbit, saya nak buat ‘barang’ yang saya boleh kawal dalam rumah sendiri.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’
BERMULA dengan Doh yang disiarkan menerusi platform penstriman, momentum penerbitan Syafiq kini sudah memasuki skala layar perak. – SYAKIR RADIN

“Saya tahu, saya mampu buat benda itu dan nak banyakkan lagi peluang pekerjaan buat orang yang berbakat bagi bekerjasama.

“Mungkin bukan sekarang, dalam 10 ke 15 tahun lagi saya ke hadapan dan lebih ‘solid’ untuk saya bawa ‘barang’ saya atau syarikat produksi sendiri,” jelasnya.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Mimi Lana itu menyangkal persepsi memperlahankan karier lakonan selepas bergelar penerbit.

“Bagi saya itu bukan bayangan (perlahankan lakonan) tapi itu satu pemikiran. Contohnya Stephen Chow, kenapa dia menerbit?

“Dia jadi penerbit sebab dia nak berlakon bukan sebab dia nak berhenti berlakon atau menerbit kerana nak hasilkan filem saja.

“Mungkin orang beranggapan begitu tapi saya rasa ‘action speaks louder than words’,” tuturnya.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’
BERGELAR penerbit tidak membuatkan Syafiq dan isterinya Mimi Lana memperlahankan karier lakonan.

Malah, dia juga berharap dapat memperkasakan atau melahirkan bakat-bakat baharu dalam produksi Indigo Films.

“Kita nak berhenti merungut, 10 tahun lalu kita selalu cakap ‘kurangnya orang bayar kita, kecilnya bayaran.

“Suatu hari nanti, Indigo akan banyak lagi pengarah yang akan bekerjasama contohnya Safuan atau Sofyank. Saya sebut nama-nama ini sebab mereka berpotensi.

“Ramai lagi yang nak bekerjasama, maksudnya pengarah-pengarah baharu. Selain pada itu, orang di belakang tadbir, semua ada banyak pendatang baharu yang berbakat,” ujarnya.

Menukar topik perbualan, Syafiq menarik nafas lega apabila filem sulung terbitannya Baga: Esok Untuk Siapa bergandingan dengan Ariff mendapat reaksi positif daripada khalayak termasuk pemain industri.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’
FILEM Baga: Esok Untuk Siapa menjadi filem pertama terbitan Syafiq Kyle.

Baga: Esok Untuk Siapa

Dia mengakui pada mulanya masyarakat mungkin memandang sinis kerana beranggapan filem tersebut sekadar mengetengahkan isu dadah dan golongan muda semata-mata.

Namun, dia percaya kredibiliti pengarah mampu menterjemahkan mesej yang lebih mendalam.

“Saya faham orang akan nampak Baga ini main sentimen dadah dan anak muda. Tetapi mengenali Ariff, kenapa orang tengok ‘barang’ dia bagus.

“Sebab dia ‘penembak’ tepat, karya dia tepat pada isu yang dia nak sampaikan. Mungkin luarannya nampak macam dadah tapi sebenarnya tentang kesempitan hidup dan keputusan.

“Ariff dah fikir, cara kerja dia dan pembungkusan sangat cantik untuk ‘trigger’ orang pergi (tonton),” kongsinya.

Dalam masa sama, Syafiq berharap penonton tidak hanya menilai naskhah lakonan Amir Ahnaf tersebut dari kulit luaran semata-mata, sebaliknya membawa pulang nilai pengajaran yang bermakna selepas keluar dari pawagam.

“Kalau orang rasa sebelum masuk itu fasal dadah, kami harap orang keluar ada banyak lagilah kalian akan dapat. Itulah saya rasa objektif sesebuah filem.

“Tak semestinya kita tengok satu filem gembira kita dapat bawa balik rasa seronok. Mungkin kita tengok sebuah filem yang sedih tapi bawa balik kegembiraan sebab boleh kaitkan dengan kehidupan kita.

“Itu rasanya antara elemen yang ada dalam Baga. Saya juga tahu, susah sebenarnya nak jual filem begini,” tutupnya.

Image from: ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’
SYAfIQ Kyle bersama pelakon dan karyawan yang terlibat dalam pembikinan filem Baga: Esok Untuk Siapa, antaranya Ariff Zulkarnain, Syafiq Yusuf dan Wan Hanafi Su.

The post ‘Saya nak buat barang sendiri, dikawal di rumah sendiri’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved