
Menjadi seorang ibu bukanlah tugas yang mudah lebih-lebih lagi semasa anak-anak sedang membesar. Selalu kita dengar golongan mak-mak di Asia terkenal dengan garangnya. Ini termasuklah juga dalam budaya di negara kita.
Penulis sendiri tidak terlepas dari membesar dengan seorang ibu yang garang. Adakah anda juga sama seperti penulis? Jika ya, mungkin ada ayat-ayat di bawah yang juga tidak asing didengari oleh kalian kan?
1. ‘Kau ingat Mak kerja cop duit ke?’ Soalan ini biasanya diutarakan bukanlah dengan niat untuk bertanya kepada kita, tetapi lebih kepada nak memberitahu si anak bahawa ibunya bukan orang kaya atau mempunyai banyak duit. Kebiasaannya frasa ini diucapkan apabila si anak suka meminta-minta dibelikan sesuatu yang mahal, atau secara kerap. Biasanya lepas terkena ayat ini si anak hilang harapan untuk dapat apa yang dimintanya.
2. ‘Kan dah kena, Mak pesan tak nak dengar.’ Dengan kata lain ayat ini bermaksud padan muka kepada si anak selepas si anak itu melakukan sesuatu yang sudah ditegah. Semasa kita masih kanak-kanak, sudah menjadi lumrah kita nak cuba sesuatu yang nampak seronok. Tetapi ada masanya kita tak sedar yang seronok itu mendatangkan bahana atau sakit kepada kita. Contohnya seperti memanjat pokok, berlari-lari di tempat yang tidak sesuai atau memegang objek yang dilarang. Dalam kes penulis, ibu melarang memanjat pokok pisang namun penulis teruskan juga. Apa lagi, selang beberapa kali, penulis jatuh terlentang ke tanah.

3. ‘Tanya ayah, mak tak tahu.’ Biasanya ayat ini digunakan apabila si ibu hendak menolak permintaan anaknya dengan cara berlapik. Lebih-lebih lagi jika si ayah memang terkenal dengan garangnya atau sukar untuk diyakinkan oleh si anak. Tetapi lain pula kalau sang ayah memang cenderung memberikan anak apa yang diminta. Pastinya helah ini tidak akan menjadi jika begitu.
4. ‘Kalau Mak cari jumpa, siaplah kau!’ Ini merupakan amaran yang cukup merisaukan buat si anak jika barang yang pada awalnya sukar ditemui tiba-tiba ditemui dengan mudahnya oleh si ibu. Menurut pengamatan penulis, perkara ini cenderung terjadi kepada anak-anak lelaki (ada masanya si ayah pun begitu.) Entah bagaimana, ada masanya bila si anak sendiri mencari barang yang diingini susah betul nak jumpa. Mahu atau tidak terpaksalah bertanya beberapa kali kepada ibu yang biasanya sedang sibuk membuat kerja-kerja rumah.
Tengah penat penat membuat kerja terpaksa pula mencari barang si anak. Jadi tidak hairanlah jika mood ibu juga menjadi tidak baik sambil mencarinya. Maka si anak kena terima sajalah jika dimarahi sedemikian, lebih-lebih lagi jika barang dicari ternyata berada di bawah hidung sahaja sepanjang masa itu.
5. ‘Buat perangai ya, kau tunggulah kita sampai rumah nanti.’ Yang ini paling penulis takuti masa kecil dahulu. Biasanya terjadi jika penulis membuat perangai yang tidak berkenan di mata ibu semasa di majlis-majlis kenduri atau di rumah orang lain. Biasalah semasa kita bermain dengan adik-beradik atau kawan-kawan di tempat sebegitu ada masanya kita lupa diri. Mulalah ada terlanggar sesuatu atau mengganggu kelancaran majlis.
Si ibu biasanya akan bersabar dahulu semasa memerhatikan si anak. Jika sempat, jelingan tajam akan dilontarkan kepada anak tak pun mata dibesarkan sebagai tanda amaran tanpa suara. Jika amaran masih belum difahami, ibu akan mendekati si anak dan berbisik ayat di atas. Kadangkala ada bonus cubitan tersorok sambil ayat amaran tersebut dibisikkan. Tahulah si anak bahawa nasibnya tidak baik sesampainya di rumah hari itu.
Itulah dia antara contoh ayat-ayat pedas yang dapat penulis kongsikan pada artikel kali ini. Ada tak lagi yang penulis tertinggal selain yang disenaraikan di atas?
Hakikatnya, walaupun mak-mak kita ini garang, itu tidak bermakna mereka bukanlah ibu yang baik. Cuma sudah menjadi budaya masyarakat kita bahawa sosok seorang ibu itu sangat dihormati dan kegarangan itu dilihat sebagai tanda bahawa mereka mahu memberikan didikan dengan cara paling berkesan kepada anak-anak mereka.
Marilah bersama mendoakan kesihatan buat ibu-ibu kita yang masih ada dan buat yang sudah kembali kepada Pencipta, semoga roh-roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
KadangKaler adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.




