Jadikan perbezaan sebagai kelebihan: Ketua Menteri

LocalPolitics
31 Oct 2022 • 1:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mahu rakyat negeri ini khususnya masyarakat Islam agar sentiasa mencontohi Rasulullah SAW dalam perilakunya mengekalkan keharmonian antara masyarakat.

Katanya, rakyat harus terus menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini dengan mencontohi Rasulullah SAW dalam segala perilaku dan usahanya menjaga hubungan antara umat Islam dan bukan Islam.

Mengimbas kembali sejarah Rasulullah SAW semasa berada di Madinah, beliau berkata, Baginda telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai kaum yang tinggal berhampiran Kota Madinah demi meningkatkan lagi kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan.

“Inilah prinsip “Ukhuwah Insaniah” yang telah diterapkan oleh baginda Rasulullah SAW dalam masyarakat Madinah.

“Sesungguhnya kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya”, katanya pada Majlis Pelancaran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Tuaran Tahun 2022 di Dewan Seri Sulaman, pada Ahad.

Beliau berkata, semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta terhadap Rasululullah SAW.

Hajiji berkata, Maulidur Rasul yang disambut hakikatnya bukanlah sekadar sambutan hari lahir Baginda Rasulullah SAW semata-mata, tetapi ia membawa suatu makna yang amat besar kepada seluruh manusia.

Menurutnya, dalam konteks kemanusiaan, Rasulullah adalah contoh dalam mengangkat ukhuwah insaniah (persaudaraan kemanusiaan) dan Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa mahupun keturunan.

Justeru katanya, tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, amat tepat dan signifikan dengan kehidupan masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata, apa jua perbezaan yang wujud, hendaklah dijadikan sebagai kelebihan dan bukan kelemahan, sementara persamaan pula hendaklah dijadikan sebagai sumber kekuatan.

“Kita jalin serta perkukuhkan lagi perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan sikap bertoleransi sebagai sebuah keluarga yang besar.

“Prinsip inilah yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW tatkala membangun Kota Madinah”, jelasnya.

“Walaupun Nabi Muhammad SAW telah mempusakakan al-Quran dan sunnahnya sebagai pedoman kita, namun semakin tua umur dunia ini, maka semakin hebat cabaran yang perlu ditempuhi khususnya kita sebagai umatnya”.

“Ini termasuklah cabaran dalam menghadapi helah dan tipu muslihat musuh yang semakin licik dan akibat kejahilan manusia itu sendiri.

“Justeru setiap cabaran dan rintangan tersebut perlu kita tangani dengan kebijaksanaan, strategi, ilmu pengetahuan dan juga kemahiran yang sebenar melalui semangat keluarga Malaysia”, tegasnya.

Hajiji turut mengajak rakyat negeri ini agar bersama-sama kerajaan memainkan peranan masing-masing dalam membantu memulihkan kembali ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Semoga semangat kebersamaan kita itu dapat memberikan impak tinggi sekali gus dapat membina kesatuan masyarakat negeri ini yang dinamik dan bersatu padu”, tambahnya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.