Jadual padat, Sabah FC II gilir pemain

FootballSports
8 Apr 2025 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: GL Oh

Kota Kinabalu: Sabah FC II dijangka akan menggilirkan skuad dalam tiga perlawanan terakhir mereka dalam saingan Piala MFL musim ini ekoran jadual yang padat.

Mereka akan menentang Terengganu FC II di laman sendiri esok (9 April), diikuti aksi di tempat lawan menentang PDRM FC pada 12 April sebelum menutup musim dengan aksi di laman sendiri menentang Negeri Sembilan FC pada 14 April.

Ketua jurulatih Billyton Vun berkata pemain tidak mempunyai masa mencukupi untuk pulih disebabkan jadual yang dikeluarkan oleh MFL.

“Ia agak mustahil untuk pemain mendapatkan rehat mencukupi dengan tiga perlawanan dalam masa seminggu.

“Mereka memerlukan sekurang-kurangnya 48 jam rehat selepas setiap perlawanan untuk proses pemulihan dan kita tidak dapat mengelak perkara itu.

“Selain itu, kami juga menghadapi kesukaran untuk membuat persiapan pasukan dalam tempoh masa yang ada,” katanya semasa majlis rumah terbuka Hari Raya yang dianjurkan oleh pengurus pasukan Datuk Abdul Kassim Razali di Tuaran baru-baru ini.

Walaupun berdepan situasi sukar, beliau masih berharap pasukan dapat mencatat keputusan positif untuk menamatkan musim dengan cemerlang.

“Sebagai ketua jurulatih, saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab saya. Kami hanya mempunyai 18 hingga 19 pemain yang boleh diturunkan selepas setiap perlawanan kerana fasa pemulihan.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk menyediakan pasukan bagi mendapatkan keputusan positif dalam tiga perlawanan ini dengan kaedah penggiliran bagi mengelakkan pemain mengalami keletihan melampau dan kecederaan jangka panjang.

“Saya juga berharap pemain dapat mengambil peluang ini untuk membina kekuatan mental dalam pertandingan di bawah situasi yang padat ini,” tambahnya.

Sabah FC II memenangi perlawanan terakhir mereka dengan membelasah Kelantan Darul Naim FC 4-1 di Stadium Likas pada 18 Mac lalu.

Ia juga merupakan kemenangan kedua Sabah FC II dalam kejohanan ini selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur FC pada Januari lalu.

Pasukan itu kini berada di tangga tercorot carta liga dengan hanya 10 mata susulan dua kemenangan dan empat keputusan seri.

Kuching City FC II berada satu anak tangga di atas mereka dengan jumlah mata yang sama tetapi sudah bermain lebih satu perlawanan.