Jadual waktu solat Selangor diubah ikut daerah, bukan lagi zon mulai 2027 - Mufti

25 Nov 2026 • 3:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jadual waktu solat Selangor diubah ikut daerah, bukan lagi zon mulai 2027 - Mufti
Jadual waktu solat Selangor bakal diubah kepada mengikut daerah berbanding tiga zon bermula 1 Januari 2027. Foto hiasan

SHAH ALAM - Jadual waktu solat Selangor bakal diubah kepada mengikut daerah berbanding tiga zon bermula 1 Januari 2027.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, perubahan itu bagi meningkatkan ketepatan waktu solat berdasarkan kedudukan geografi setiap daerah membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang. 

"Jika dahulu tiga zon maknanya gabungan, sekarang ini akan lebih kecil iaitu setiap daerah ada jadual waktu solat tersendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Taklimat Perubahan Zon Waktu Solat Negeri Selangor Berdasarkan Daerah di sini pada Rabu. 

Anhar berkata, penentuan waktu solat baharu itu timbul susulan aduan dan semakan mendapati berlaku laungan azan yang tidak konsisten pada Ramadan sehingga mengganggu ibadah puasa.  

Beliau berkata, umat Islam tidak perlu khuatir terhadap perubahan berkenaan selain menasihatkan untuk merujuk kepada laman sesawang rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi mendapatkan jadual waktu solat baharu itu. 

Anhar berkata, pihaknya akan mempergiat usaha penjelasan kepada setiap kariah di seluruh Selangor dalam menjamin kesempurnaan ibadah umat Islam di negeri berkenaan. 

"Jadual waktu solat bagi sembilan daerah untuk 2027 sudah disediakan dan boleh dirujuk menerusi laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Selangor.

"Insya-ALLAH untuk aplikasi Iman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga kita sedang berbincang bagi memasukkan jadual waktu solat Selangor baharu,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved