
MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin menyambut baik Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan kesalinghubungan antarabangsa, sambil menyifatkannya sebagai sokongan kepada persiapan menghadapi Tahun Melawat Sabah (TMS) 2027.
Beliau berkata peruntukan Persekutuan untuk Sabah meningkat kepada RM18.7 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negeri itu.
Jafry berkata peruntukan RM935 juta di peringkat nasional bagi sektor pelancongan dan kebudayaan turut memberi ruang kepada Sabah untuk memperkukuh promosi destinasi, pembangunan produk pelancongan dan pemeliharaan warisan budaya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Beliau menyifatkan geran padanan bagi penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas sebagai langkah strategik yang berpotensi memperkukuh hubungan udara antara Sabah dengan pasaran utama, termasuk China, India, Asia Tengah dan Eropah.
Katanya, kesalinghubungan udara yang lebih baik penting untuk meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi antarabangsa, selain membuka peluang kepada industri pelancongan tempatan.
Mengenai pemuliharaan, Jafry menyambut baik perhatian yang diberikan kepada Lembah Danum, yang dikenal pasti sebagai tapak warisan berpotensi untuk penambahbaikan kemudahan dan pengiktirafan Unesco.
Beliau turut berkata jalan raya dan infrastruktur asas yang lebih baik penting bagi meluaskan akses ke destinasi pelancongan luar bandar serta merancakkan kegiatan ekonomi dalam kalangan masyarakat setempat.
“Sabah menyambut baik penekanan terhadap sektor pelancongan, khususnya usaha menambah baik kemudahan, memperkukuh promosi dan memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa.
“Ini selaras dengan usaha kita untuk meningkatkan ketibaan pelancong, menggalakkan tempoh penginapan lebih lama dan memastikan manfaat ekonomi daripada pelancongan dinikmati lebih ramai rakyat Sabah.
“Pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar mesti bergerak seiring. Biodiversiti Sabah ialah aset yang tidak ternilai dan perlu terus dilindungi menerusi pendekatan pembangunan yang bertanggungjawab.
“Keutamaan kita bukan sekadar membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, tetapi memastikan mereka meneroka lebih banyak destinasi, tinggal lebih lama dan memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.
“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi Persekutuan untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif Belanjawan 2027, supaya Sabah lebih bersedia untuk muncul sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berdaya saing dan mampan,” katanya.
