JAG labur RM2.15 juta dalam Metal Bank Australia, perluas pendedahan kepada industri emas

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JAG labur RM2.15 juta dalam Metal Bank Australia, perluas pendedahan kepada industri emas Image from: JAG labur RM2.15 juta dalam Metal Bank Australia, perluas pendedahan kepada industri emas sarah14/10/2026 - 18:18 Gambar/metalbank.com.au Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - JAG Bhd memperluas pendedahan kepada rantaian nilai emas menerusi pelaburan kira-kira RM2.15 juta untuk mengambil pegangan 6.17% dalam syarikat penerokaan dan pembangunan emas yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX), Metal Bank Ltd.

 

Dalam kenyataan, JAG berkata anak syarikat milik penuhnya, JAG Capital Equity Sdn Bhd, memeterai perjanjian mengikat untuk melanggan 60 juta saham baharu Metal Bank pada harga A$0.01254 (kira-kira 3.58 sen) sesaham.

 

Pelaburan berjumlah A$752,400 (kira-kira RM2.15 juta) itu akan dibiayai menggunakan dana dalaman JAG. Selepas penerbitan saham baharu berkenaan, JAG Capital dijangka memegang kira-kira 6.17% daripada modal saham terbitan Metal Bank yang diperbesarkan kepada 971.84 juta saham.

 

Pengarah Eksekutif JAG, Datuk Ng Meow Giak berkata, pelaburan jangka panjang itu membolehkan kumpulan memperluas penglibatan daripada aktiviti kitar semula dan pemulihan logam berharga kepada peringkat penerokaan serta pembangunan emas.

 

“Pelaburan ini merupakan peluang strategik untuk JAG memperluas kehadiran merentasi rantaian nilai logam berharga. Operasi sedia ada kami melalui JMI memberi tumpuan kepada kitar semula dan pemulihan logam berharga, termasuk emas, manakala Metal Bank memberi pendedahan kepada segmen huluan melalui aktiviti penerokaan dan pembangunan emasnya di Australia,” katanya.

 

Menurut beliau, kedudukan yang saling melengkapi itu berpotensi mewujudkan sinergi dalam jangka panjang apabila Metal Bank bergerak ke arah pengeluaran, selain membuka peluang di luar operasi pemulihan sedia ada JAG.

 

Metal Bank mempunyai portfolio projek penerokaan emas, tembaga dan kobalt di Australia. Aset utamanya, Livingstone Gold Project di Australia Barat, mempunyai anggaran sumber mineral global sebanyak 122,500 auns emas daripada tiga deposit berdekatan.

 

Hasil terbitan saham baharu itu akan digunakan Metal Bank untuk memajukan rancangan pengeluaran di Livingstone Gold Project, dengan pengeluaran awal disasarkan daripada deposit Homestead, selain membiayai kerja penerokaan di projek lain dan keperluan modal kerja.

 

Meow Giak berkata, perniagaan Pengurusan Sisa Penuh (TWM) kekal sebagai teras strategi pertumbuhan JAG, meskipun kumpulan terus meneliti peluang pelaburan yang melengkapi kepakaran sedia ada.

 

“Pelaburan dalam Metal Bank mencerminkan pendekatan kami untuk meneroka peluang baharu bagi penciptaan nilai jangka panjang sambil mengekalkan disiplin kewangan dan memberi tumpuan jelas kepada operasi teras,” katanya.

 

Selain memperkukuh keupayaan mendapatkan bahan, pemprosesan dan pemulihan logam berharga, JAG turut melihat peluang mengembangkan perniagaan kepada pengguna (B2C) sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjangnya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved