JAG perluas operasi pengurusan sisa menerusi pembelian tanah RM36.89 juta

LocalBusiness & Finance
14 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JAG perluas operasi pengurusan sisa menerusi pembelian tanah RM36.89 juta Image from: JAG perluas operasi pengurusan sisa menerusi pembelian tanah RM36.89 juta sarah14/10/2026 - 18:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - JAG Bhd, syarikat yang dimiliki Datuk Seri Johari Abdul Ghani, merancang memperluas kapasiti perniagaan pengurusan sisa menerusi pembelian tanah industri di HICOM, Shah Alam, Selangor, bernilai RM36.89 juta.

 

Pembelian itu dijangka menyokong pengembangan operasi kumpulan, selain membuka peluang baharu dalam kitar semula perkakasan pusat data, panel solar dan bateri kenderaan elektrik (EV) apabila aset berkenaan mencapai penghujung jangka hayatnya.

 

Anak syarikat milik penuhnya, JAG Renewable Energy Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli dengan Kobe Steel Ltd bagi pembelian tanah industri pegangan bebas di Pekan HICOM, Daerah Petaling, Selangor.

 

Pengarah Eksekutif JAG, Datuk Ng Meow Giak berkata, peningkatan pelaburan dalam pusat data, tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik dijangka membuka peluang baharu bagi pemulihan bahan apabila aset berkenaan mencapai penghujung jangka hayatnya.

 

Menurut beliau, perkakasan pusat data, panel solar dan bateri EV memerlukan kaedah kitar semula khusus bagi mendapatkan semula bahan bernilai serta mengurus sisa secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

“Dengan mengembangkan kapasiti pemprosesan dan keupayaan penyimpanan kami hari ini, kami meletakkan JAG untuk merebut peluang masa hadapan ini,” katanya dalam kenyataan.

 

Pengambilalihan itu menyokong pengembangan perniagaan Pengurusan Sisa Penuh (TWM) kumpulan, termasuk pembinaan barisan pengeluaran baharu dan penambahan kapasiti penyimpanan.

 

JAG menganggarkan keperluan modal kira-kira RM60 juta bagi pengembangan berkenaan, merangkumi kos tanah dan peralatan, yang dijangka meningkatkan kapasiti pemprosesan serta fleksibiliti operasi kumpulan.

 

Beliau berkata, industri pengurusan sisa mempunyai halangan teknikal, operasi dan pematuhan yang ketara, justeru persediaan awal penting bagi memenuhi permintaan masa depan dan mengendalikan aliran sisa yang semakin kompleks.

 

Pengembangan itu dijangka memperkukuh keupayaan JAG mendapatkan semula bahan bernilai tinggi daripada sisa industri, selain menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi kitaran.

 

Bagi membiayai pembelian tanah itu, JAG akan menggunakan dana dalaman untuk membayar deposit 10%, manakala baki harga pembelian dibiayai melalui pinjaman bank. Pengambilalihan itu dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan menerusi penambahan ruang operasi, kapasiti penyimpanan dan kemudahan pengeluaran.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved