Jagjit Rayu Masa Tambahan, Mahkamah Berehat 30 Minit

Politics
1 Sep 2022 • 10:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Jagjit Singh - Gambar oleh Alif Omar

KUALA LUMPUR - Drama tercetus selepas lima minit persidangan bermula bagi mendengar keputusan kes solar Datin Seri Rosmah Mansor, apabila seorang daripada peguamnya, Datuk Jagjit Singh merayu masa tambahan untuk menyediakan hujahan terhadap afidavit balas pendakwa, berhubung permohonan beliau untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, permohonan Rosmah tidak mengandungi bukti kukuh untuk menyokong alasannya menyingkirkan hakim berkenaan.

Meskipun begitu, mahkamah berehat selama 30 minit bagi membolehkan pasukan pembelaan mengambil sedikit masa untuk membantah permohonan Rosmah itu.

Sri Ram berkata, permohonan pihak pembela dibuat dengan niat jahat dan boleh dianggap menghina proses mahkamah, kerana ia secara keseluruhannya hanya berasaskan keterangan dengar cakap berita yang diterbitkan oleh portal atas talian.

image is not available
Mohamed Zaini Mazlan - Gambar Bernama

Zaini sebelum itu menegur peguam terbabit selepas Jagjit memohon masa tambahan, dan berkata beliau sudah bersedia mendengar merit permohonan, memandangkan pihak pendakwa telah memfailkan sijil perakuan segera pada 30 Ogos untuk mempercepatkan persidangan.

“Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum hari Merdeka, saya telah mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini.

“Kerana itu Datuk Jagjit, kamu memfailkan sijil perakuan segera, kamu sepatutnya bersedia,” kata hakim.

Zaini memberitahu Jagjit, beliau bersedia mengenepikan afidavit pendakwa yang difailkan pagi ini oleh Timbalan Pendakwa Raya,  Poh Yin Tinn untuk tidak menjejaskan pembelaan.

“Saya sudah membacanya. Pada pendapat saya, kamu tidak perlu nenafikan sebarang fakta, dan tidakkah kamu merasakan bahawa saya secara peribadi tahu mengenai fakta yang disebut dalam afidavit itu?

“Ia kononnya penghakiman dibuat saya itu ditulis oleh pihak ketiga. Saya rasa hanya saya yang mampu menjawab soalan itu,” katanya sambil menegaskan, beliau sudah bersedia untuk mendengar kes hari ini.

“Bentangkan kajian kamu. Kamu mahukan sedikit masa?”

Jagjit cuba menjelaskan bahawa pihak pembelaan memerlukan sekurang-kurangnya 48 jam untuk menyediakan permohonan bertulis, sebelum dicelah oleh Zaini yang memberitahu, mahkamah hanya akan berehat sebentar.

Jagjit: Kami memerlukan 48 jam untuk menyediakan permohonan bertulis.

Zaini: Tidak, tidak Datuk, saya ingat kamu hanya maksudkan beberapa minit.

Jagjit: Yang Arif tak perlukan permohonan bertulis? Baiklah, kami terima.

Zaini: Kamu patut bersedia Datuk  Jagjit. Kamu datang dari zaman yang tidak menggunakan permohonan bertulis. Saya yakin kamu boleh berhujah mengenai permohonan itu, Datuk.

Jagjit: Saya sudah membaca prinsip kehakiman bebas.

Zaini: Tunjukkan saya hasilnya. 

Mahkamah kemudian berehat selama 30 minit untuk membolehkan barisan pembela menyediakan hujahan permohonan Rosmah.

image is not available
Rosmah Mansor - Gambar oleh Alif Omar

Rosmah, 70 didakwa meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepai Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Ganjaran itu adalah bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek prototaip sistem solar untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion. - The Vibes, 1 September 2022