
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, tular di media sosial video yang mempamerkan aksi kurang menyenangkan mata oleh seorang pemuda dan wanita di sebuah kedai makan di Malim Jaya, Melaka.
Menerusi video tular, kelihatan lelaki dan wanita terbabit yang tidak diketahui status hubungan mereka dilihat saling berpelukan malah si lelaki melentokkan kepalanya pada bahu wanita terbabit di hadapan orang ramai.
Video itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mengecam serta mempersoal status hubungan pasangan berkenaan.
JAIM Jalankan Siasatan, Kenal Pasti Identiti Pasangan
Terbaharu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menjalankan siasatan selepas aksi ‘manja’ pasangan terbabit tular di media sosial sejak semalam (14 September).
Menurut EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman, JAIM akan mengenal pasti identiti pasangan berkenaan.
Ia juga termasuklah mengenal pasti status hubungan kedua-dua mereka, lokasi kejadian serta kesahihan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan institusi pendidikan tinggi (IPT) di Melaka.
“Pihak JAIM akan meneliti perkara ini dengan mengenal pasti pasangan terbabit terlebih dahulu, termasuk status hubungan mereka.
“Pada masa sama kita akan lihat sama ada perlakuan dalam video itu mempunyai unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang syariah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Suami Isteri Tidak Wajar Pamer Aksi Mesra Secara Terbuka
Tambah Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, sekiranya pasangan terbabit merupakan suami isteri, perlakuan itu tetap tidak wajar untuk dipamerkan secara terbuka.
Ini kerana jelasnya setiap individu perlu menjaga adab dan kesopanan.
“Perbuatan tidak sopan di tempat awam boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” ujarnya.
Memetik Malaysia Gazette, Rahmad turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan tular sehingga identiti dan status pasangan terbabit disahkan.
Sebelum ini, video yang berdurasi 11 saat itu menjadi bualan warganet disebabkan aksi tidak senonoh pasangan berkenaan.
Malah, timbul dakwaan yang mendakwa kedua-dua individu terbabit merupakan pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Malim Jaya.
Baca Artikel Berkaitan: Pasangan Kekasih Ditahan Lepas Tular Buat Perkara Tak Senonoh Dalam Kereta Merah
Baca Artikel Berkaitan: “Tak Malu, Masjid Sebelah Je” – Ramai Kecam Lihat Pasangan Bermesra Di Tengah Dataran Kemerdekaan Shah Alam [Video]


