SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengemukakan kertas cadangan bagi menaikkan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, cadangan itu selaras dengan peningkatan kos sara hidup semasa dan dijangka dilaksanakan mulai Mei ini.
Menurutnya, penyelarasan elaun itu dibuat dengan mengambil kira beban tugas guru KAFA serta realiti ekonomi semasa.
"Waktu bertugas guru KAFA adalah sekitar lima jam sehari dan lima hari seminggu, manakala lokasi tugas pula kebiasaannya berhampiran tempat tinggal mereka.
"Cadangan kenaikan ini juga bertujuan menarik minat lebih ramai permohonan serta mengekalkan guru KAFA sedia ada di sekolah,” katanya ketika menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Selasa.
Mohamad Fahmi berkata, guru KAFA turut boleh memohon pelbagai bentuk bantuan yang disediakan kerajaan negeri termasuk menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta institusi zakat di negeri ini.
Mengulas mengenai mekanisme menjaga kebajikan, beliau berkata, kerajaan negeri menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain pelbagai kemudahan cuti.
Katanya, antara kemudahan itu termasuk cuti rehat khas 10 hari, cuti menjaga anak kuarantin lima hari, cuti kematian keluarga tiga hari serta cuti sakit tahunan 15 hari.
"Selain itu, guru KAFA turut menikmati cuti sakit kritikal berpanjangan sehingga 180 hari, cuti bersalin 60 hari, cuti isteri bersalin tiga hari serta kemudahan cuti menunaikan umrah dan haji mengikut tempoh ditetapkan.
"Mereka juga diberi peluang dan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi serta mengikuti kursus peningkatan profesionalisme," tambah beliau.
Jelas beliau, penambahbaikan kebajikan itu akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan guru KAFA sentiasa terpelihara seiring keperluan semasa.

