Selangor kaji loji penyahgaraman, pelbagaikan sumber air

LocalEnvironment
22 Apr 2026 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Selangor kaji loji penyahgaraman, pelbagaikan sumber air
Izham menjawab sesi pertanyaan semasa Sidang DUN Selangor pada Rabu.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang meneliti cadangan pembinaan loji penyahgaraman (desalinasi) sebagai langkah strategik bagi mempelbagaikan sumber bekalan air di negeri itu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, teknologi itu masih di peringkat kajian, namun dilihat semakin berpotensi untuk dilaksanakan berikutan penurunan kos sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, ketika ini Selangor masih bergantung kepada sumber air permukaan, manakala penggunaan air bawah tanah pula masih terhad.

“Loji penyahgaraman ini antara alternatif yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan bekalan air lebih mampan pada masa hadapan.

“Sebelum ini kosnya tinggi dan tidak ekonomik, namun seperti teknologi solar, kosnya kini semakin menurun dan mula menunjukkan daya saing,” katanya pada sesi pertanyaan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin mengetahui impak pelaksanaan teknologi itu terhadap kos perkhidmatan dan tarif air dengan mengambil contoh pelaksanaannya di Singapura yang didakwa memberi kesan tinggi terhadap kadar tarif.

Izham berkata, kerajaan negeri turut menerima beberapa cadangan projek loji penyahgaraman dengan kapasiti kira-kira 300 juta liter air sehari.

“Cadangan ini melibatkan dua lokasi, namun keputusan muktamad akan dibuat berdasarkan penilaian teknikal, strategik serta aspek kos dan ekonomi pelaksanaannya,” jelas beliau.

Tambah beliau, sebarang pelaksanaan projek itu juga akan mengambil kira implikasi terhadap tarif air agar kekal berpatutan kepada pengguna.

Terdahulu, semasa menjawab pertanyaan bertulis Chua Wei Kiat (PH-Rawang), Izham menjelaskan bahawa Selangor kini berada pada tahap selesa dari segi bekalan air apabila margin rizab direkodkan sebanyak 17.4 peratus, melebihi paras minimum ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, bahawa berdasarkan garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), margin rizab melebihi 15 peratus dikategorikan sebagai tinggi dan mencerminkan keupayaan bekalan yang mencukupi.

“Ketika ini, margin rizab bekalan air adalah 17.4 peratus bersamaan 1,130 juta liter sehari (JLH).

“Jumlah keupayaan pengeluaran air bersih daripada 34 loji rawatan air (LRA) di Selangor adalah sebanyak 6,500 JLH, manakala purata permintaan pengguna pula sekitar 5,370 JLH,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Air Selangor menjangkakan keperluan kapasiti simpanan air akan meningkat kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menampung pertambahan permintaan.

“Kerajaan negeri melalui Air Selangor sedang merancang dan melaksanakan pembinaan beberapa loji rawatan air baharu bagi memastikan margin rizab sentiasa kekal melebihi 15 peratus,” katanya.

Izham berkata bahawa antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk pembinaan LRA Sungai Rasau Peringkat 1 dengan kapasiti 700 JLH yang dijangka siap pada 2027, diikuti Peringkat 2 dengan kapasiti sama pada 2031.

Selain itu, katanya, LRA Labohan Dagang Fasa 2 berkapasiti 200 JLH dijangka siap pada 2029, manakala LRA Langat 2 Fasa 2 dengan kapasiti 760 JLH pula disasarkan siap pada 2030.