JAIS Siasat Video Senamrobik Didakwa Tidak Sopan Di Bukit Badong

LocalPolitics
19 Jan 2026 • 7:39 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil maklum penularan sebuah rakaman video di aplikasi TikTok yang memaparkan aktiviti senaman aerobik yang didakwa berlaku di kawasan Bukit Badong, Selangor, sejak kebelakangan ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perbuatan yang dipaparkan dalam video berkenaan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, aktiviti tersebut bukan sahaja disifatkan sebagai sangat tidak beradab, malah mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam serta berpotensi menyebabkan agama Islam dipandang hina.

“Jabatan ini memandang serius perbuatan ini dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang kerana perbuatan tersebut selain sangat tidak beradab, ia mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAIS Jalankan Siasatan Terperinci

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa JAIS kini sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian berkenaan, termasuk mengenal pasti lokasi sebenar, penganjur program serta individu-individu yang terlibat.

Dalam pada itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian Hotline JAIS di 1800-88-2424.

Terdahulu, media melaporkan seorang pengguna Threads, @Erymerah, memuat naik rakaman yang menunjukkan sekumpulan wanita melakukan senamrobik di atas sebuah pentas ketika siaran langsung TikTok.

Rakaman tersebut mencetuskan kecaman dalam kalangan pengguna media sosial apabila dua wanita dilihat memakai baju kurung sekolah dengan seluar ketat, manakala seorang lagi dipercayai hanya mengenakan seluar pendek. – The Malaysian Update

The post JAIS Siasat Video Senamrobik Didakwa Tidak Sopan Di Bukit Badong appeared first on The Malaysian Update.