JAKIM gesa semua buku agama disemak pihak berautoriti, elak kesilapan kandungan

29 Jun 2026 • 9:30 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

JAKIM menggesa semua penerbit buku agama menjalankan semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan kandungan dan memelihara kesucian Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan setiap buku berunsurkan agama Islam perlu melalui proses semakan oleh pihak berautoriti bagi memastikan kesahihan kandungannya, susulan kontroversi kesilapan dalam sebuah buku agama yang ditulis oleh seorang pempengaruh.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan yang menggesa penerbit memelihara kesucian Islam dengan memastikan semua buku agama disemak terlebih dahulu sebelum diterbitkan.

Menurut beliau, setiap penulis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan buku yang dihasilkan, manakala penerbit pula hendaklah melantik pasukan pakar serta kakitangan yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian Islam bagi menyemak semua kandungan berkaitan agama secara dalaman sebelum diterbitkan.

“Setiap penulis buku perlu bertanggungjawab penuh kepada buku yang ditulis. Selain itu, semua Penerbit yang menerbitkan buku kandungan agama, secara dalaman perlu bertanggungjawab melantik pasukan pakar dan kakitangan berkelulusan pengajian Islam untuk membuat semakan kepada semua kandungan agama sebelum diterbitkan,” katanya.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya kesilapan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila melibatkan petikan ayat al-Quran dan hadis.

Baca juga:

Sehubungan itu, JAKIM turut mengesyorkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia supaya sentiasa mengingatkan semua penerbit agar lebih teliti dan berhati-hati dalam menerbitkan bahan bacaan yang mengandungi teks al-Quran serta hadis.

“JAKIM bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bersedia untuk memberikan panduan dan bimbingan kepada semua Penerbit buku kandungan agama,” katanya.

Sebelum ini, pempengaruh, Aisyah Hijanah Azhari tampil memohon maaf secara terbuka susulan kesilapan penulisan ayat al-Quran dalam sebuah buku terbitannya yang mencetuskan kebimbangan ramai.

Menerusi satu kenyataan, beliau mengakui kesilapan itu merupakan tanggungjawabnya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku berkenaan, walaupun naskhah tersebut dihasilkan bersama seorang penulis bersama (ghostwriter).

The post JAKIM gesa semua buku agama disemak pihak berautoriti, elak kesilapan kandungan appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved