
PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung video tular yang didakwa memaparkan individu beragama Islam terlibat dalam ritual keagamaan bukan Islam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, laporan berhubung isu berkenaan turut dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Negeri untuk semakan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, penelitian terhadap perlakuan individu yang dikaitkan dengan isu itu akan dilaksanakan pihak berkuasa berdasarkan fakta serta undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jakim sentiasa komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menangani isu ini dengan tegas dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Jakim menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menghadiri sebarang acara ritual keagamaan bukan Islam.
Menurutnya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menegaskan bahawa penyertaan umat Islam dalam ritual keagamaan agama lain yang melibatkan unsur pemujaan berhala adalah haram dan dilarang.
Jakim turut menegaskan bahawa tindakan lanjut akan dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing bagi memastikan isu tersebut ditangani berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang.-KOSMO! ONLINE
The post Jakim siasat video tular ritual agama bukan Islam appeared first on Kosmo Online.






