Jalaluddin berlapang dada, kejayaan BN lebih utama

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 1:40 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jalaluddin berlapang dada, kejayaan BN lebih utama

SEREMBAN – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau kecewa kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar, sebaliknya menegaskan kejayaan Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Negeri Sembilan merupakan matlamat utama perjuangannya.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, beliau berlapang dada kerana fokusnya sejak awal adalah memastikan BN kembali menerajui pentadbiran negeri.

“Saya gembira hasrat perjuangan untuk memberi kemenangan kepada BN dan memimpin semula Negeri Sembilan sudah tercapai. Itu matlamat utama saya.

“Mandat besar sudah diberikan kepada BN. Yang patut diraikan ialah kemenangan BN.

“Tubuh badan saya tak sakit sebab tak jadi Menteri Besar. Kenapa orang lain pula yang sakit?” katanya bagi memengulas dakwaan kononnya beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai Menteri Besar.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin memaklumkan beliau tidak akan menawarkan diri untuk menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain.

“Saya juga tidak akan tawarkan diri menjadi Exco kerana saya sudah menjadi Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang.

“Saya telah mengetengahkan calon-calon terbaik dan berkaliber daripada BN, bagi mereka peluang. Saya berlapang dada. Saya bukan baru sehari dalam politik. Saya tidak tamak kuasa.

“Banyak lagi tugas menanti untuk memenuhi manifesto BN, menunaikan janji kepada rakyat dan memperbaiki kelemahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Jalaluddin berlapang dada, kejayaan BN lebih utama appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved