
SETIU: Risiko kemalangan setiap kali melalui jalan berbatu dan berbukit sepanjang kira-kira 400 meter di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bukit Pepari di sini, menjadi kebimbangan penduduk yang menggunakan laluan berkenaan.
Seorang penduduk, Nur Harfizah Ismail, 28, berkata, suaminya Mohammad Nor Zakaria, 45, sudah beberapa kali terjatuh motosikal ketika menggunakan laluan berkenaan akibat keadaan jalan yang tidak rata, berbatu dan sukar dilalui.
Katanya, keadaan lebih membimbangkan pada waktu malam dan ketika hujan kerana laluan berkenaan gelap serta menjadi licin sekali gus meningkatkan risiko kemalangan penunggang motosikal.
“Kami sekeluarga tidak mempunyai pilihan selain menggunakan motosikal kerana kenderaan lain tidak dapat memasuki kawasan rumah yang terletak kira-kira 400 meter dari jalan utama itu.
“Suami sudah banyak kali jatuh motosikal ketika melalui jalan berkenaan kerana keadaan batu yang tidak rata. Saya bimbang jika berlaku kecederaan serius, lebih-lebih lagi ketika hujan atau kecemasan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurut Nur Harfizah, mereka juga terpaksa berjalan kaki untuk keluar ke jalan utama sekiranya tiada motosikal manakala kereta mereka diletakkan di rumah penduduk lain bagi memudahkan urusan.
Katanya, mereka sekeluarga yang mempunyai seorang anak menetap di situ kerana ia merupakan adalah sendiri walaupun kemudahan jalan masuk masih menjadi masalah.
“Sebelum rumah dibina, kawasan ini tidak mempunyai jalan masuk sehingga kontraktor juga keberatan memasuki kawasan berkenaan untuk menjalankan kerja pembinaan. Pada awalnya, kami mengeluarkan wang sendiri kira-kira RM800 untuk membeli batu sungai bagi membuat laluan sementara.
“Kemudian, kami memohon bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum mendapat jalan kerikil serta pembinaan pembetung pada 2025 tetapi keadaan laluan belum sesuai untuk dilalui kenderaan,” katanya.
Justeru, mereka berharap pihak berkaitan dapat mempertimbang pembinaan jalan lebih sempurna bagi mengelak kejadian kemalangan berulang serta menjamin keselamatan keluarganya
“Ada individu lain yang berminat membina rumah di kawasan ini namun hasrat berkenaan terbantut akibat kekangan kemudahan jalan masuk,” katanya. –UTUSAN
The post Jalan berbatu, tak berturap bahayakan penduduk appeared first on Utusan Malaysia.





