
GUA MUSANG – Lebih 100 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini terputus jalan perhubungan utama apabila jambatan gantung yang merentasi Sungai Belatop dihanyutkan kepala air petang semalam.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, hujan mula turun kira-kira pukul 4 petang sebelum paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.
“Kejadian itu menyebabkan penduduk hilang laluan utama untuk berulang-alik ke kawasan luar bagi urusan harian dan perlu menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.
“Sebahagian penduduk terpaksa berlindung di Dewan Terbuka Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pos Brooke, manakala yang lain berada di rumah masing-masing selepas kejadian itu. Tiang konkrit jambatan berkenaan dipercayai turut patah akibat dihanyutkan arus deras,” katanya.
Rian memberitahu, jambatan gantung itu pernah dibaik pulih kira-kira lebih dua tahun lalu selepas mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, susulan laporan media mengenai kesengsaraan penduduk Orang Asli yang terpaksa menggunakan jambatan uzur sebelum ini.
Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Kelantan dan Terengganu, Mohd. Faedzyal Mohamed berkata, kira-kira 44 keluarga yang tinggal di sekitar Kampung Brooke Lama terjejas akibat kejadian berkenaan.
Katanya, sebagai tindakan awal, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi mendapatkan bantuan kecemasan susulan laporan bahawa kampung berkenaan terputus hubungan. – KOSMO! ONLINE
The post Jambatan gantung kampung Orang Asli dihanyut kepala air appeared first on Kosmo Online.





