liza20/10/2026 - 17:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee menggesa semua operasi sementara di Pelabuhan Kota Kinabalu yang melibatkan pengendalian kargo berat dipindahkan semula ke Pelabuhan Sepanggar bagi mengelakkan kerosakan berterusan terhadap infrastruktur jalan raya dan jambatan di bandar raya itu.
Beliau berkata pemindahan sebahagian operasi pelabuhan dari Sepanggar ke Pelabuhan Kota Kinabalu pada awal tahun ini telah mencetuskan tiga masalah utama, iaitu kerosakan infrastruktur, gangguan kepada penduduk serta peningkatan kos pembaikan.
Menurutnya, trafik kenderaan berat menyebabkan jambatan di Kilometer 2.8, Jalan Tun Fuad Stephens menjadi tidak selamat sehingga terpaksa ditutup dan digantikan dengan jambatan sementara yang tertakluk kepada had berat dan ketinggian kenderaan.
Yong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan jambatan lama lain di sepanjang jalan berkenaan sekiranya pengangkutan kargo berat diteruskan.
Jalan alternatif turut mengalami kerosakan
Susulan penutupan jambatan itu, kenderaan pengangkut berat diarahkan menggunakan Jalan Signal Hill Park yang memindahkan beban trafik berkenaan ke jalan lain di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Yong mendakwa jalan tersebut kini turut mengalami kerosakan teruk sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya, lapor The Star.
“Penduduk di kawasan perumahan berhampiran juga terpaksa berhadapan dengan gangguan bunyi bising dan pencemaran habuk setiap hari akibat pergerakan kenderaan berat.
“Kerosakan itu membabitkan kos pembaikan yang tinggi, dengan perbelanjaan membaiki Jalan Signal Hill Park sahaja dianggarkan mencecah RM500,000,” katanya.
Beliau mempersoalkan sama ada Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bertanggungjawab memulihkan jalan itu kepada keadaan asal atau DBKK perlu menanggung kos berkenaan.
Pelabuhan Sepanggar diminta ambil alih operasi
Yong berkata, Pelabuhan Kota Kinabalu tidak direka untuk mengendalikan kargo berat, sebaliknya terhad kepada pengendalian kenderaan bermotor menerusi kaedah ‘roll-on, roll-off (Ro-Ro), iaitu kenderaan dipandu masuk dan keluar dari kapal.
Bagaimanapun, beliau mendakwa kontena besar dan gegelung logam berat kini turut dihantar melalui pelabuhan berkenaan, menyebabkan kenderaan berat menggunakan jalan raya dalam bandar dan Jalan Tuaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua operasi sementara di Pelabuhan Kota Kinabalu dipindahkan semula ke Pelabuhan Sepanggar dengan segera bagi mengelakkan kerosakan infrastruktur yang lebih serius.
Beliau berkata, langkah itu wajar dilaksanakan selepas operasi 24 jam di Pelabuhan Sepanggar diluluskan.
Yong turut menggesa jabatan dan agensi kerajaan bekerjasama menyelesaikan isu berkenaan secara bersepadu dan bukannya menyerahkan tanggungjawab antara satu sama lain. - DagangNews.com






