
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee mengkritik pemindahan sebahagian operasi perkapalan dari Pelabuhan Sepanggar ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan mendakwa langkah itu memburukkan kerosakan jalan serta pencemaran habuk dan bunyi bising di kawasan kediaman berhampiran Signal Hill.
Beliau berkata lori berat pada awalnya menggunakan jalan pesisir pantai Likas susulan perubahan operasi itu, sebelum kerosakan struktur dan penutupan jambatan Jalan Tun Fuad Stephens menyebabkan kenderaan berkenaan mempunyai laluan alternatif yang terhad.
“Had berat di Jambatan Bailey sementara memaksa kenderaan berat melalui jalan perumahan menuju ke Jalan Signal Hill, sekali gus menambah beban pada jalan yang tidak direka untuk menampung kenderaan pengangkut berat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Yong berkata jalan yang menghubungkan Dewan Hakka dengan Signal Hill, yang diturap pada 2021 ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik bagi menyediakan laluan akses penduduk setempat, tidak dibina untuk menampung trafik lori berat.
Pergerakan berterusan kenderaan berat siang dan malam telah menyebabkan kerosakan serius pada jalan itu, manakala habuk dan bunyi bising mengganggu ketenteraman penduduk, katanya.
Yong berkata cadangannya pada Ogos lepas untuk menaik taraf Jalan Coastal Likas, yang juga dikenali sebagai Jalan Tun Fuad Stephens, masih belum mendapat maklum balas.
Beliau berkata pergerakan kenderaan berat mempercepat kerosakan jalan akses ke Jalan Signal Hill dan Dewan Hakka, sambil menggesa kerajaan menangani masalah asas infrastruktur itu secara langsung.
Beliau turut menggesa penyediaan pelan menyeluruh meliputi logistik jalan pesisir pantai dan jambatan bagi mengelakkan gangguan berterusan terhadap kawasan kediaman.






