Jalan Kampung PPH Karamunting dinaiktaraf

LocalPolitics
23 Oct 2025 • 4:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Penduduk Kampung PPH Karamunting kini boleh menarik nafas lega apabila laluan utama di kampung mereka yang sebelum ini berlumpur  akhirnya ditimbus serta disimen sepenuhnya.

Kerja baik pulih itu dilaksanakan hasil inisiatif Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin selepas menerima aduan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan Jeffrydin Usad mengenai keadaan jalan yang menyukarkan pergerakan penduduk terutama ketika musim hujan.

“Keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan kami. Laluan ini digunakan setiap hari oleh penduduk termasuklah pelajar sekolah dan warga emas.

“Apabila jalan berlumpur, risiko terjatuh dan kemalangan meningkat. Oleh sebab itu kami terus bertindak,” katanya.

George berkata selepas menerima maklum balas daripada pihak JKKK beliau segera menyalurkan peruntukan untuk membeli batu kerikil dan bahan bagi kerja-kerja menyimen jalan berkenaan.

“Kita tidak tunggu lama. Dengan bantuan Ketua Kampung Karamunting, JKKK dan penduduk sendiri kerja menimbus serta menyimen dilakukan secara gotong-royong.

“Inilah semangat kebersamaan yang perlu kita pupuk,” katanya.

Beliau turut turun padang bersama Ketua Kampung dan ahli JKKK bagi meninjau keadaan penduduk serta menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam gotong-royong tersebut.

Menurutnya usaha menaik taraf laluan utama kampung terbabit bukan sahaja memastikan keselamatan tetapi memberi keselesaan kepada penduduk untuk bergerak dan menjalankan aktiviti harian.

“Apabila masyarakat dan pemimpin saling bekerjasama hasilnya dapat dirasai bersama. Inilah yang kita mahu lihat Karamunting yang lebih selesa, selamat dan bersatu,” ujarnya.