
TAMBUNAN: Jalan menuju ke Air Terjun Mara-Kara yang menghubungkan kawasan itu dengan jalan utama Kampung Monsok Tengah berpotensi menyokong usaha memperkasakan daerah ini sebagai destinasi eko-pelancongan baharu.
Ahli Parlimen Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, (gambar) berkata kemudahan infrastruktur jalan raya itu diyakini dapat memudahkan akses orang ramai ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan bagi meneliti keperluan akses jalan raya berkenaan untuk menyokong perancangan mengetengahkan Air Terjun Mara-Kara dan Air Terjun Maraiguang sebagai tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Pada awal 2026, Dr Jeffrey mengarahkan kerja penerokaan dan pencarian laluan darat menuju ke Air Terjun Mara-Kara dilaksanakan. Beliau turut menyalurkan sumbangan kewangan kepada pasukan belia dari Kampung Kuala Monsok, Kampung Monsok Tengah dan Kampung Monsok Ulu yang terbabit secara langsung dalam usaha itu.
Inisiatif berkenaan merupakan langkah awal untuk mengenal pasti laluan yang selamat dan sesuai ke kawasan air terjun yang terletak dalam Hutan Simpan Kelas Satu, dengan mengambil kira keperluan pembangunan infrastruktur serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Tambunan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Tambunan atas kerjasama serta sokongan berterusan dalam merealisasikan perancangan itu.
Dalam Berita Tambunan, Dr Jeffrey berkata, sekiranya direalisasikan, pembangunan kedua-dua destinasi air terjun itu bukan sahaja berpotensi memperkukuh sektor eko-pelancongan di daerah ini, malah dijangka membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat, khususnya golongan belia.
Ini termasuk penglibatan dalam aktiviti pelancongan berasaskan komuniti, di samping memastikan kelestarian khazanah alam semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Selain tarikan baharu itu, Tambunan sememangnya terkenal dengan jolokan “Switzerland of the East” kerana menawarkan pelbagai keindahan alam semula jadi, termasuk gunung, hutan, taman bunga serta destinasi popular seperti Air Terjun Mahua dan Gunung Trus Madi.
Antara destinasi yang sering dikunjungi ialah Air Terjun Mahua yang terkenal dengan airnya yang jernih, sejuk dan bersih, selain dikelilingi hutan yang belum diteroka.
Pengunjung boleh bermandi-manda di air terjun setinggi 17 meter dengan kedalaman 1.2 meter itu sambil menikmati keindahan flora dan fauna serta mendengar bunyi unggas dan cengkerik.



![[VIDEO] Banjir kilat landa TTDI, Damansara Utama](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/149e3288-609f-4de6-aa16-d049962b03dc-1024x682.jpeg)
