
Tenom: Laluan di kilometer 151 Jalan Keningau-Tenom ditutup sepenuhnya pada jam 9 pagi Sabtu akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan berterusan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memaklumkan kerja-kerja penyediaan laluan lencongan sedang giat dijalankan di lokasi dekat tokong berhampiran simpang bintang tujuh.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, sekiranya keadaan cuaca masih tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan sehingga laluan disahkan selamat untuk digunakan.
“Pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tenom-Sipitang (melalui Sipitang),” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Selain itu, pihak JKR juga membersihkan jalan alternatif Tepoh - Pengalat untuk memudahkan laluan pengguna.
Dalam masa yang sama JKR juga sedang membuat jalan alternatif di tepi jalan utama dengan menimbus batu pasir untuk memudahkan laluan apabila keadaan cuaca mengizinkan. Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
Sementara itu, JKR Sabah turut memaklumkan Jalan Keningau-Kimanis juga ditutup sepenuhnya sejak 4 Mac demi keselamatan pengguna kerana kejadian tanah runtuh masih dikesan di laluan berkenaan.
“Orang ramai dari Kota Kinabalu ke Keningau atau Tenom dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif melalui Tambunan (Kota Kinabalu-Keningau-Tenom). JKR membuat pemantauan berterusan dan kerja-kerja pembersihan masih dilaksanakan, bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan di lokasi, sekiranya cuaca tidak mengizinkan dan runtuhan masih aktif, penutupan jalan terpaksa dilanjutkan,” menurut kenyataan itu.



