Jalan ladang: Sabah dapat peruntukan tertinggi

LocalBusiness & Finance
7 Nov 2025 • 5:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Sabah menjadi penerima terbesar peruntukan membaik pulih jalan-jalan ladang di bawah projek jalan ladang pekebun kecil (JLPK) dengan RM17.05 juta disalurkan daripada keseluruhan RM20 juta disediakan tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata sehingga 31 Okt lepas, sebanyak 57 projek JLPK diluluskan dengan peruntukan RM17,056,325 di Sabah termasuk tiga projek jalan ladang bernilai RM2 juta di Tawau.

“Bantuan ini disediakan bagi memudahkan urusan logistik dan pengangkutan hasil tuaian pekebun kecil, hal ini kerana selepas pekebun kecil menuai hasil, dan penghantaran buah tan segar perlu sampai ke kilang atau pusat pengumpulan tepat pada masanya.

“Sekiranya masa penghantaran melebihi 24 jam, hal itu akan menyebabkan Free Fatty Acid (FFA) meningkat, jika FFA meningkat kualiti minyak berkurang sekali gus hasil pendapatan pekebun kecil juga kurang. Sebab itu bantuan seumpama ini disalurkan memandangkan keadaan jalan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit daerah Tawau di sini, Khamis, yang turut menyaksikan penyampaian Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

Chan berkata, selaras dengan komitmen kerajaan membantu pekebun kecil, kerajaan dalam Belanjawan 2026 memperuntukkan tambahan RM50 juta bagi penyelenggaraan serta pembangunan jalan ladang di seluruh negara.

Beliau menasihati  semua pihak agar memanfaatkan sepenuhnya bantuan serta insentif disediakan kerajaan supaya hasil pengeluaran sawit pekebun kecil di Sabah mampu menjana pendapatan lebih tinggi.

Sementara itu, Chan berkata Sabah antara negeri penerima peruntukan tertinggi di Malaysia di bawah TSPKS 2.0 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM61,560,637.20, melibatkan 796 permohonan yang diluluskan merangkumi kawasan seluas 3,420.04 hektar.

Daripada jumlah tersebut, Tawau mencatat sebanyak 144 permohonan diluluskan dengan keluasan 674.31 hektar, melibatkan peruntukan berjumlah RM12,137,520.60, manakala, Sandakan mencatat 34 permohonan diluluskan dengan keluasan 155.76 hektar melibatkan peruntukan RM2,803,633.20.

Menurutnya, pelaksanaan skim ini membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu pekebun kecil meningkatkan keupayaan produktiviti melalui penanaman semula sawit yang lebih efisien dan mampan.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 15 Okt tahun ini, Sabah mencatat kadar pensijilan MSPO tertinggi di Malaysia dengan 30,768 orang pekebun kecil melibatkan 191,517.96 hektar, mewakili 96.09 peratus kadar pematuhan.

Di Tawau, seramai 1,600 pekebun kecil dengan 15,614.57 hektar memperoleh pensijilan MSPO, manakala di Sandakan, seramai 1,025 pekebun kecil di bawah SPOC S22 (7,384.25 hektar) dan 701 pekebun kecil di bawah SPOC S23 (4,678.10 hektar) turut disahkan bersijil.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pekebun kecil di Sabah semakin sedar tentang kepentingan pengurusan ladang yang mampan dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri baharu yang akan dibentuk selepas 29 Nov depan adalah sehaluan dengan kerajaan pusat dalam memastikan semua peruntukkan atau projek-projek untuk rakyat yang sudah dirancang dapat dilaksanakan tanpa berdepan halangan politik.