
BANGKOK - Kira-kira 3,500 pesakit di Hospiyal Vajira, di sini, dipindahkan ke bangunan berhampiran selepas sebahagian Jalan Samsen di hadapan hospital berkenaan mendap pagi tadi.
Dalam kejadian pada 7.13 pagi itu, mendapan berkenaan membentuk lubang besar sedalam kira-kira 50 meter, dengan lebar 30 meter dan panjang juga 30 meter, lapor Bangkok Post.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. Berikutan itu perkhidmatan pesakit luar di hospital kerajaan itu telah digantung.
Laporan awal menunjukkan struktur hospital tidak terjejas.
Menurut Pejabat Daerah Dusit, laluan trafik antara persimpangan Vajira dan Sanghi ditutup atas faktor keselamatan.
Penduduk di pangsapuri berhampiran turut diarahkan berpindah.
Dua tiang elektrik dan sebuah kenderaan polis dilaporkan terjatuh ke dalam lubang selepas kejadian.
Ketika ini, anggota Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) berada di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja kecemasan.
Kawasan itu sebelum ini telah ditutup kerana kerja-kerja pembinaan Laluan Ungu Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Tao Poon dan Rat Burana.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kejadian mendapan tersebut. - 24 September, 2025
The post Jalan mendap sedalam 50 meter, 3,500 pesakit hospital di Bangkok dipindahkan appeared first on Scoop.


