“Jalan Raya Bukan Hanya Laluan Menuju Destinasi”- Dr Zulkifli Titip Pesanan Buat RXZ Members

31 Jul 2026 • 9:47 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

“Jalan Raya Bukan Hanya Laluan Menuju Destinasi”- Dr Zulkifli Titip Pesanan Buat RXZ Members

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bermula hari ini (31 Julai) sehingga 1 Ogos sedang berlangsungnya program RXZ Members Edisi Kelapan (RXZ Members 8.0) yang diadakan di Litar Permotoran, Gong Badak di Terengganu.

Dr Zulkifli titip pesan untuk RXZ Members untuk berhati-hati di jalan raya

Susulan itu bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menitipkan pesanan buat semua penunggang motosikal yang terlibat untuk berhati-hati serta mematuhi undang-undang sepanjang program ini berlangsung.

Menurutnya jalan raya bukan hanya laluan untuk menuju ke destinasi tetapi ia juga medan untuk semua individu mengumpul pahala atau mengundang kepada dosa.

Menurutnya daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah SAW bersabda:

قَالُوا: وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: غَضُّ الْبَصَرِ، وَكَفُّ الْأَذَى، وَرَدُّ السَّلَامِ، وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ، وَالنَّهْيُ عَنِ الْمُنْكَرِ

Mereka bertanya: “Apakah hak jalan itu, wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Menundukkan pandangan, menahan diri daripada menyakiti orang lain, menjawab salam, menyuruh kepada perkara yang makruh dan mencegah daripada perkara yang mungkar.”

(Riwayat al-Bukhari (6229), Muslim (2121) dan Abu Dawud (4815)).

Harap kegembiraan yang dirasai tidak mengundang kesusahan atau gangguan kepada orang lain seperti bunyi motor dan sebagainya

Kata beliau, antara hak yang besar apabila berada di jalan raya adalah tidak menyakiti orang lain. Oleh itu, dia berharap agar kegembiraan yang dirasai akan menjadi kesusahan buat orang lain.

“Janganlah bunyi motosikal kita menjadi sebab seorang bayi terjaga daripada tidur, seorang pesakit terganggu rehatnya, atau seorang warga emas terkejut kerana bunyi yang memekakkan telinga,” pesannya dalam satu hantaran di Threads.

Selain itu, beliau juga berpesan agar mereka yang menyertai RXZ Members untuk:

  • Berhati-hati di jalan raya
  • Mematuhi undang-undang yang ditetapkan
  • Tidak berlumba
  • Jangan memotong secara berbahaya
  • Jangan melakukan aksi yang boleh mengundang kepada padah

Jelasnya meskipun seseorang itu yakin dengan kemahiran yang dimiliki namun kita juga tidak pernah tahu takdir Allah yang menanti sepanjang berada di jalan raya.

RXZ Members dialu-alukan untuk datang beribadah di masjid

Katanya lagi, masjid yang berada di sekitar Terengganu yang berdekatan dengan tempat RXZ Members berhimpun itu juga mengalu-alukan kedatangan kumpulan penunggang motosikal berkenaan.

Oleh itu, beliau menyeru untuk mereka berhenti melakukan sebarang aktiviti apabila mendengar azan berkumandang.

“Biarlah tayar motosikal membawa kita ke rumah Allah sebelum membawa kita ke destinasi yang lain.

“Alangkah indahnya jika ribuan penunggang memenuhi saf-saf masjid, sehingga orang ramai berkata ‘inilah penunggang RXZ yang kami hormati.'”

Antara masjid yang menawarkan kemudahan dan mengalu-alukan kehadiran ahli RXZ Members untuk berehat dan solat adalah:

  • Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung)
  • Masjid Seberang Takir
  • Masjid Mengabang Telipot
  • Masjid Nur Bakti Kg Wakaf Bharu dan banyak lagi

Ajak peserta RXZ Members bantu ekonomi peniaga di Terengganu dan elak berkunjung ke tempat boleh undang fitnah atau maksiat

Beliau dalam masa sama juga mengajak para peserta untuk membantu peniaga tempatan yang berada di Terengganu seperti membeli keropok lekor, cenderamata dan sebagainya.

Selain itu, beliau turut menegaskan agar para penunggang juga sentiasa menjaga pandangan dan mengelak daripada berkunjung ke tempat yang boleh mengundang kepada fitnah dan maksiat.

“Jangan biarkan mata mencari sesuatu yang diharamkan Allah. Lebih-lebih lagi bagi yang sudah bergelar suami, ingatlah bahawa di rumah ada seorang isteri yang menjaga maruah dan kesetiaan kepada kita. Jangan khianati amanah itu hanya kerana beberapa saat menurut nafsu.

“Jika haus, bungkus siap air sebelum perjalanan pulang ke destinasi,” katanya.

Beliau turut berdoa agar setiap kilometer yang dilalui oleh peserta RXZ Members berada dalam lindungan serta rahmat Allah SWT dan langkah perjalanan dipermudahkan, dikurniakan keselamatan ketika pergi dan pulang ke rumah.

“Semoga kembali bukan sekadar membawa kenangan, tetapi juga membawa keberkatan dan rahmat daripada-Nya.”

View on Threads
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved