Jalil Hamid pelakon versatil, mendidik dalam diam - Ogy Ahmad Daud

LocalEntertainment
4 May 2026 • 6:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jalil Hamid pelakon versatil, mendidik dalam diam - Ogy Ahmad Daud
Ogy bersama Allahyarham Jalil Hamid (kiri) dan pengarah telemovie Suami Untuk Neksu Mior Hashim Manaf. - Foto Ogy Ahmad Daud.

SHAH ALAM - Pemergian pelakon veteran, Jalil Hamid disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air apabila beliau bukan sahaja dikenali sebagai pelakon versatil, malah memiliki peribadi yang rendah diri sepanjang perjalanan seninya.

Seniwati, Fauziah Ahmad Daud berkata, arwah merupakan seorang yang komited dalam setiap amanah diberikan, selain memiliki ilmu lakonan yang luas tanpa pernah meninggi diri.

Menurut Fauziah atau Ogy, kali terakhir mereka bergandingan adalah sebelum Ramadan lalu menerusi telemovie Calon Suami Untuk Neksu arahan Mior Hashim Manaf, selepas pernah bekerjasama sejak era 1980-an.

"Sepanjang bekerjasama dengan arwah termasuk menerusi drama Camelia, beliau sentiasa menampilkan kejujuran dalam lakonan sehingga secara tidak langsung menjadi teladan kepada rakan pelakon lain.

“Dalam diam, beliau mendidik kita. Cara lakonannya sangat jujur dan itu memberi kesan kepada saya sampai hari ini. Bila berlakon dengannya, kita perlu seimbang dengan tenaga dan kejujuran yang dibawa dalam setiap babak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abdul Jalil Abdul Hamid, 69, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam, pada jam 12.30 tengah hari Isnin.

Allahyarham merupakan seorang pelakon, penyanyi, pelawak, pengarah, penerbit dan pengacara yang menceburi bidang seni sejak 1984.

Jalil yang popular dengan single berjudul Ayam dan Raya juga terlibat dalam penghasilan lebih 30 filem, 25 lagu dan 70 telefilem serta drama tempatan sepanjang pembabitannya.

Mengulas lanjut, Fauziah berkata, antara perkara yang paling dikaguminya ialah sifat arwah yang merendah diri dan tidak pernah menunjukkan sikap sombong meskipun memiliki pengalaman serta ilmu yang besar dalam dunia seni.

Beliau turut mendedahkan arwah tetap meneruskan kerja di lokasi penggambaran walaupun berdepan masalah kesihatan, demi memastikan amanah yang dipikul dapat disempurnakan sebaiknya.

“Dia sangat profesional dan tidak suka menyusahkan orang, sebab itu pemergiannya amat memberi kesan. Industri kehilangan seorang yang bukan sahaja hebat di layar, tetapi juga insan yang sangat baik peribadinya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang berkata, beliau mengenali arwah Jalil Hamid sejak lebih 30 tahun lalu dan hubungan persahabatan itu berterusan sehingga ke hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan selepas pandemik Covid-19, arwah bersama isteri sering hadir ke Karangkraf Mall untuk membeli naskhah al-Quran dalam jumlah yang agak banyak.

“Kadang-kadang beliau beli sekitar 10 hingga 20 naskhah al-Quran dalam satu masa dan katanya untuk dihadiahkan kepada orang kampung di Masai, Johor,” katanya.

Hashim berkata, sikap arwah yang gemar membeli al-Quran untuk diedarkan kepada orang lain menggambarkan peribadinya yang sentiasa menjaga hubungan dengan masyarakat dan mengamalkan nilai-nilai murni.

“Pemergian beliau satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada industri seni tetapi juga kepada mereka yang mengenali beliau secara peribadi,” ujarnya.

 

View Original Article