
KUALA LUMPUR — Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila pelakon veteran, Jalil Hamid dilaporkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Berita pemergian seniman berusia 69 tahun itu disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Afiqah Jalil menerusi perkongsian di Instagram.
Menurut Afiqah, bapanya menghembuskan nafas terakhir selepas tertidur usai menunaikan solat Subuh. Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri oleh isterinya di dalam bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di rumah.
Urusan Pengebumian Hari Ini
Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al Munawwarah sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21 selepas solat Asar, hari ini.
Punya Sejarah Masalah Jantung
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan mempunyai sejarah masalah jantung dan pernah menjalani rawatan berkala.
Figura Seni Lebih Empat Dekad
Allahyarham Jalil Hamid merupakan antara nama besar industri hiburan yang aktif dalam bidang lakonan dan nyanyian lebih empat dekad.
Antara karya lakonan yang meninggalkan kesan termasuk filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam. Selain itu, beliau turut membintangi pelbagai drama popular seperti Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda.
Bukan sahaja dalam lakonan, Allahyarham juga pernah mencuri perhatian menerusi lagu berunsur sindiran dan humor berjudul Ayam yang dirakam sekitar awal 1990-an.
Sepanjang kerjaya, bakat dan sumbangan besar beliau dalam dunia seni turut melayakkan Allahyarham menerima pelbagai pengiktirafan.
Pemergian beliau pastinya satu kehilangan besar buat industri seni tanah air. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Pelakon Veteran Jalil Hamid Meninggal Dunia appeared first on The Malaysian Update.






