Jalur Gemilang: Sin Chew Daily Diberi Surat Tunjuk Sebab, Siasatan Serta Merta

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 5:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang disiarkan Sin Chew Daily semalam - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memanggil pengurusan akhbar Sin Chew Daily berhubung penerbitan imej Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang disiarkan semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, syarikat akhbar berkenaan juga telah diberi Surat Tunjuk Sebab dan berdepan siasatan lanjut. 

Menurut beliau, siasatan perkara itu dibuat serta-merta di bawah Akta Lambang (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. 

“Saya memandang serius insiden penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit oleh akhbar Sin Chew Daily pada 15 April 2025.

“Simbol bulan sabit bukan sekadar rekaan grafik – ia membawa makna besar sebagai lambang Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

image is not available
Saifuddin Nasution Ismail

Tegas Saifuddin, kecuaian tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut berisiko menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara.

“Sebagai penjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perbuatan yang menjejaskan simbol kedaulatan dan perpaduan negara.

“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan,” katanya. 

Beliau berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, sebaliknya lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional Malaysia yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak. 

Saifuddin memberi amaran, mana- mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera diperuntukkan di bawah Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414) boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.

“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang bolen menggugat keselamatan dan ketenteraman awam sepertimana yang diperuntukan di bawah Akta 301.

“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya. 

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN katanya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara. 

image is not available
Sultan Ibrahim - Gambar Istana Negara

Titah baginda, bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata. 

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah baginda.

Titah baginda, pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran. - Getaran, 16 April 2025