Jalur Gemilang tidak lengkap, Dr. Maszlee gesa tindakan tegas

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 3:17 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap sebuah syarikat penerbitan akhbar berbahasa Cina yang menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Menurut beliau, permohonan maaf yang dikemukakan oleh pihak Sin Chew Daily berhubung kesilapan itu adalah tidak memadai dan perlu dipertanggungjawabkan secara serius.

“Bendera Malaysia adalah soal kedaulatan! Permohonan maaf hanya boleh diterima jika dilakukan oleh orang yang jahil, dungu, dan tersilap,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Maszlee turut mempersoalkan bagaimana sebuah akhbar tersohor yang berusia hampir seratus tahun dan memiliki lebih 500,000 pembaca, selain dikendalikan oleh pasukan editorial berpengalaman, boleh melakukan kesilapan melibatkan simbol negara.

“Sebuah akhbar berwibawa yang berpengalaman sebegini sepatutnya lebih teliti. Kesalahan ini perlu dibawa ke muka pengadilan, atau individu yang bertanggungjawab harus meletakkan jawatan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar pihak berkuasa tidak berkompromi dalam isu melibatkan maruah negara.

Terdahulu, tular satu ilustrasi di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, diletakkan bersebelahan bendera China.

Susulan insiden itu, pihak penerbit telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan menjelaskan bahawa kekhilafan berkenaan berpunca daripada kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

“Kami amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Pindaan segera telah dilakukan terhadap versi digital, manakala versi cetak dengan pembetulan akan diterbitkan semula esok,” jelas kenyataan tersebut.