Jam Berbentuk Cincin Casio CRW-001 Disenaraikan Di Malaysia Pada Harga RM679

TechnologyDigital
13 Jan 2025 • 3:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penghujung November lalu kami berkongsi mengenai Casio yang hadir dengan jam tangan berbentuk cincin CRW-001. Ia diperkenalkan bersempena ulang tahun ke-50 jenama berkenaan dalam menceburi perniagaan jam tangan digital. Kini, harga jualan rasmi telah tersenarai di laman web Casio Malaysia.

image is not available

Ia dijual pada harga RM679 dengan hanya satu saiz disediakan. Menurut wakil Casio, ia akan dijual bermula 15 Januari 2025 melalui tiga cawangan terpilih iaitu Lalaport KL, Pusat Beli-belah Sunway Pyramid dan IOI City MAll (Putrajaya).

image is not available

Casio CRW-001 ialah jam tangan dalam bentuk cincin keluli tahan karat, yang diinspirasi daripada jam tangan G-Schock. Ia mempunyai skrin LCD enam segmen retro yang boleh memaparkan tarikh dan masa dalam zon waktu yang berbeza. Selain itu mempunyai tiga butang yang boleh mengawal ciri tambahan yang meliputi lampu latar, tarikh atau masa dalam zon waktu yang berbeza, dan jam randik. Walaupun hanya disediakan dalam satu saiz, ia masih boleh dilaras untuk disesuaikan dengan pelbagai saiz jari pengguna. Ia juga penarafan kalis air 5ATM dan hayat bateri sehingga dua tahun sebagai pelengkap.