
KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos akhirnya menemui jalan penyelesaian selepas Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Konflik undang-undang itu tercetus apabila Khairy memfailkan saman pada 24 Mei 2023 berhubung kenyataan media yang didakwa berunsur fitnah, yang dikeluarkan oleh Jamal semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari tahun yang sama.
Mengaku dakwaan tidak berasas
Ketika membacakan draf penghakiman persetujuan di hadapan mahkamah, Jamal akur dan mengakui bahawa segala dakwaan yang dilemparkannya terhadap bekas Ahli Parlimen Rembau itu adalah tidak benar, tidak berasas, serta tidak disokong oleh sebarang bukti yang mencukupi.
"Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan-kenyataan tersebut yang telah menyebabkan gangguan, penghinaan awam dan kerosakan kepada reputasi, nama baik serta kredibiliti Khairy," kata Jamal.
Tarik balik fitnah sepenuhnya
Bukan sekadar menyatakan kekesalan, Jamal turut mengambil langkah membersihkan nama baik Khairy dengan menarik balik segala kenyataan yang pernah dibuatnya sebelum ini tanpa sebarang syarat.
"Oleh itu, saya menarik balik sepenuhnya segala kenyataan fitnah yang telah saya keluarkan terhadap Khairy dalam sidang media dan penerbitan tersebut," tambahnya lagi.
Di penghujung ruang mahkamah, Jamal turut memohon maaf secara langsung kepada Khairy atas segala kesulitan, tekanan emosi, serta kerosakan reputasi yang timbul impak daripada penularan kenyataan berkenaan, sekali gus menutup tirai pertikaian panjang antara mereka.
Akui Khairy tidak rasuah, padam video fitnah serta-merta
Sebelum ini, Jamal melemparkan tuduhan kononnya Khairy mengupah serta membayar perwakilan tertentu untuk melakukan provokasi "boo" semasa perhimpunan agung parti berkenaan, selain mengaitkan bekas menteri itu dengan isu rasuah dan salah laku integriti.
Bagaimanapun, Jamal hari ini akur bahawa tohmahan tersebut adalah rekaan semata-mata.
"Saya mengakui kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh saya dalam sidang media dan penerbitan tersebut telah membawa maksud atau implikasi bahawa Khairy ialah seorang yang tidak berintegriti, tidak berwibawa sebagai pemimpin dan terlibat dengan amalan rasuah, yang perkara itu tidak benar sama sekali," jelasnya lagi.
Sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian, Jamal bersetuju untuk membersihkan jejak digital fitnah tersebut daripada semua platform media sosial miliknya secara kekal.
"Oleh itu, saya bersetuju untuk memadamkan serta-merta dan selama-lamanya rakaman video sidang media tersebut dan apa-apa bentuk penerbitan daripada akaun Facebook ‘DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan akaun TikTok ‘jamal_yunos’ serta memastikan bahawa penerbitan tidak lagi boleh diakses oleh orang awam," katanya.
Beliau turut memberi akujanji dan berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang bersifat sama atau seumpamanya terhadap Khairy pada masa akan datang.
Mendengar terma-terma tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anand Ponnudurai kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan kesepakatan yang dicapai dalam draf penghakiman berkenaan, sekali gus menamatkan kes tersebut secara rasmi.
Kronologi fitnah di WTC Kuala Lumpur
Terdahulu sebelum permohonan maaf itu direkodkan, peguam Harshaan Muhammad Zamani yang mewakili Khairy memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua belah pihak telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes berkenaan berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui bersama.
Perkara itu kemudiannya disahkan oleh peguam Mohammed Nasser Yusof dan Mohamad Fauzi Abdul Samad yang bertindak bagi pihak Jamal. Pada prosiding tersebut, Harshaan turut dibantu oleh barisan peguam yang terdiri daripada Shakeel Mohd Saifuzzaman, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, dan Sheetal Kaur Arwinder Singh.
Mengimbau kembali asas tindakan undang-undang ini, pernyataan tuntutan Khairy menyatakan bahawa Jamal telah mengadakan satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang dihadiri oleh pengamal media, perwakilan UMNO, serta beberapa ahli dan pemimpin parti ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari 2023.
Khairy sebagai plaintif mendakwa pada hari yang sama, Jamal telah memuat naik satu rakaman video berunsur fitnah di akaun Facebook dan TikTok miliknya dengan tajuk "Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan semberono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya".
Tuduhan melulu tersebut menyebabkan Khairy mengambil tindakan mahkamah kerana kenyataan berkenaan jelas membawa implikasi berat bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak berintegriti, tidak layak memegang mandat kepimpinan, selain dituduh tidak setia kepada parti UMNO serta barisan pemimpinnya. Bagaimanapun dengan permohonan maaf terbuka hari ini, segala spekulasi tersebut akhirnya terlerai secara rasmi. - 22 Mei, 2026
The post Jamal Yunos mohon maaf, kes saman fitnah KJ selesai appeared first on Scoop.






