
Tenom: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar (gambar) melahirkan rasa kesal terhadap kejadian kecurian harta awam di daerah ini, termasuk wayar sistem pengairan sawah padi di Kampung Makakumpai serta kepingan besi penutup longkang di sekitar pekan Tenom.
Beliau berkata, kejadian di Kampung Makakumpai amat mengecewakan kerana wayar berkenaan dicuri selepas kerja membaik pulih sistem pengairan itu dilaksanakan bagi membolehkan pesawah kembali mengusahakan tanaman mereka.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan untuk menambah baik sistem pengairan, membeli pam baharu serta menyusun semula sistem berkenaan selepas kawasan sawah itu tidak dapat diusahakan sejak kira-kira lapan hingga 10 tahun lalu akibat kerosakan pam dan sistem pengairan.
“Bila telah siap, diuji dan sebagainya, ia memberi kelegaan kepada petani-petani untuk mencucuk tanam padi.
“Walau bagaimanapun, wayar sistem berkenaan dipotong dan dicuri baru-baru ini. Ini satu peristiwa yang saya rasa amat-amat mengecewakan,” katanya.
Jamawi berkata, kejadian kecurian harta awam bukan sahaja berlaku di kawasan pertanian, malah kepingan besi yang digunakan sebagai penutup longkang di sekitar pekan Tenom turut dilaporkan dicuri.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya penduduk setempat tampil menyalurkan sebarang maklumat mengenai kegiatan berkenaan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Pada masa sama, beliau mahu pihak berkuasa memberi perhatian terhadap premis yang menjalankan aktiviti pembelian besi buruk bagi memastikan tiada pihak membeli barangan yang dipercayai hasil kegiatan mencuri.
Katanya, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap premis yang didapati membeli harta awam dicuri, termasuk menutup operasi mereka sekiranya terbukti terlibat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perarakan Tanglung dan Majlis Malam Perayaan Kuih Bulan Tahun 2026 disini pada jumaat.

