Jambatan Batang Lassa Akan Dibuka Kepada Orang Ramai Dalam Beberapa Hari Lagi

2 Jan 2025 • 12:59 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Selepas penantian panjang, jambatan Batang Lassa akan dibuka dalam masa terdekat

Jambatan Batang Lassa Akan Dibuka Kepada Orang Ramai Dalam Beberapa Hari Lagi. Selepas menanti sekian lama, penduduk Daro akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Jambatan Batang Lassa dijangka dibuka kepada orang ramai dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi selepas majlis prapelancaran dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, menjelaskan bahawa jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu kini telah siap sepenuhnya. Namun, pembukaannya sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana menunggu kerja penyambungan elektrik oleh SESCO.

image is not available
Jambatan Batang Lassa Akan Dibuka Kepada Orang Ramai Dalam Beberapa Hari Lagi. Sumber foto: Dayeed Pilot

“Majlis prapelancaran sepatutnya berlangsung pada 31 Disember lalu, tetapi ditangguhkan kerana penyambungan elektrik belum selesai. Kini, semua kerja telah siap, dan jambatan ini sedia digunakan pada bila-bila masa,” kata Safiee, menurut laporan media tempatan.

Beliau turut menambah bahawa tarikh rasmi prapelancaran masih menunggu pengesahan daripada Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD). Majlis perasmian pula dijadualkan berlangsung pada 22 Februari depan dan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Impak Besar Kepada Komuniti Daro

Pembukaan Jambatan Batang Lassa ini disifatkan sebagai langkah besar ke arah pembangunan ekonomi Daro, terutama dalam sektor pertanian dan perikanan.

“Jambatan ini bukan sahaja menjadi penghubung penting tetapi juga simbol kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat,” ujar Safiee.

Penduduk tempatan tidak sabar menikmati kemudahan baharu ini. Malah, keindahan lampu neon yang menghiasi jambatan pada waktu malam telah mencuri perhatian ramai.

Exco Pergerakan PBB Sarawak, Mohd Faizal Jamiludin, turut berkongsi beberapa gambar menarik di laman Facebooknya, membuatkan ramai lebih teruja untuk menyaksikan sendiri keindahan struktur ikonik ini.

Projek Mega Bernilai RM600 Juta

Dengan kos pembinaan mencecah RM600 juta, Jambatan Batang Lassa kini menjadi jambatan kedua terpanjang yang menyeberangi sungai di Sarawak. Projek mega ini sekali lagi membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.

Penduduk kini bersedia menikmati manfaat besar daripada kemudahan ini, yang bakal memendekkan masa perjalanan dan mempercepatkan pengangkutan hasil tani serta produk perikanan ke kawasan lain. Dengan pembukaan ini, Daro bukan sahaja akan lebih mudah diakses, tetapi juga berpotensi menjadi hab ekonomi baharu di kawasan itu.

Pastikan anda menjadi antara yang pertama melintasi Jambatan Batang Lassa dan nikmati sendiri kemegahan hasil usaha rakyat dan kerajaan Sarawak ini.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai jambatan baharu di Sarawak Dan tarikh siap: