Jambatan Ikonik Bintulu-Jepak Bakal Dibuka 23 Mac Ini

18 Mar 2025 • 10:54 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Jambatan Dinanti-Nantikan Bakal Beroperasi

Jambatan Ikonik Bintulu-Jepak Bakal Dibuka 23 Mac Ini. Setelah sekian lama dinantikan, Jambatan Bintulu-Jepak akhirnya akan dibuka secara rasmi kepada orang awam pada 23 Mac, kira-kira seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Pengarah (Infrastruktur) Jabatan Kerja Raya (JKR), Wisil Lichok, mengesahkan kepada The Borneo Post bahawa jambatan tersebut akan mula dibuka pada tarikh tersebut.

image is not available
Jambatan Ikonik Bintulu-Jepak Bakal Dibuka 23 Mac Ini

“Terdapat beberapa perkara teknikal kecil yang masih perlu diselesaikan,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Majlis pembukaan rasmi akan disempurnakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, pada jam 10 pagi.

Impak Besar Kepada Komuniti

Jambatan ini bakal mengubah cara perjalanan antara bandar Bintulu dan Jepak, mengeratkan hubungan komuniti serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

Ia juga bakal memendekkan perjalanan dari Lapangan Terbang Bintulu ke pusat bandar daripada 22km kepada hanya 6.4km.

Kini, dengan sentuhan akhir sedang dilakukan, keterujaan penduduk semakin memuncak dengan perbualan di kedai kopi dan perjumpaan sering tertumpu kepada jambatan ikonik ini.

Keunikan Struktur & Teknologi Jambatan

Ketika majlis ‘stitching ceremony’ pada September lalu, diumumkan bahawa jambatan ini memiliki ketinggian maksimum 90 meter dengan jarak pelepasan 26 meter dan merentasi 268 meter Sungai Kemena.

Jambatan ini merupakan jambatan kabel pertama yang dibina di sepanjang projek jalan pesisir dan juga jambatan kabel empat lorong dengan dua menara pertama di Malaysia Timur.

Proses pembinaannya melibatkan penggunaan sebanyak 88,342 meter padu konkrit dan 20,160 tan keluli.

Dengan kos pembinaan bernilai RM460 juta, jambatan ini digelar sebagai versi Golden Gate Bridge San Francisco bagi Bintulu.

Baca juga artikel yang berkaitan: