Jambatan Keretapi Tenom-Beaufort Dijangka Dibuka Semula Ogos 2025

17 May 2025 • 3:03 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Penduduk Pangi dan Rayoh di laluan Tenom-Beaufort dah boleh senyum lebar

Jambatan Keretapi Tenom-Beaufort Dijangka Dibuka Semula Ogos 2025. Ingat lagi tak insiden jambatan keretapi yang runtuh di KM121 laluan Tenom-Beaufort yang sedikit sebanyak mengganggu urat nadi perhubungan penduduk setempat? Nampaknya, penantian dan kesabaran semua bakal berbaloi tak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, yang juga merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, baru-baru ini telah turun padang untuk meninjau sendiri progres kerja-kerja pembaikan. Dan apa yang beliau kongsikan pastinya melegakan ramai pihak.

image is not available
Jambatan Keretapi Tenom-Beaufort Dijangka Dibuka Semula Ogos 2025. Sumber foto: Sabah Media

“Hasil daripada tinjauan yang dilakukan, kita dapat melihat bahawa kerja-kerja semasa masih sedang dilaksanakan iaitu pembaikan tebing dan kerja yang utama adalah pembinaan semula sebuah jambatan yang dapat menghubungkan Pangi dengan Rayoh di kilometer 121,” kata Datuk Shahelmey selepas lawatan kerjanya ke laluan keretapi Tenom-Rayoh.

Beliau dengan optimis menambah, “Jadi melihat kepada prestasi kemajuan kerja, saya dimaklumkan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bahawa jambatan ini dijangka siap menjelang hujung Julai ataupun awal Ogos ini.”

Sambungan terputus bakal bertaut kembali

Apabila jambatan ikonik ini siap kelak, laluan penting antara Tenom dan Beaufort akan kembali bernyawa. Ini bukan sahaja berita gembira dari segi infrastruktur, tetapi lebih penting lagi, ia bakal mengembalikan kemudahan pergerakan buat penduduk kampung di Rayoh dan Pangi, Tenom. Laluan ini penting untuk aktiviti harian mereka, sama ada untuk ke sekolah, bekerja, atau menguruskan hasil tani.

“Kita berharap dengan siap jambatan ini laluan tersebut boleh diaktifkan dan ini akan memudahkan pergerakan penduduk kampung di Rayoh dan juga Pangi Tenom,” ujar beliau, menunjukkan keprihatinannya terhadap keperluan jambatan tersebut di kawasan berkenaan.

Penduduk guna troli haram merentasi kawasan jambatan Tenom-Beaufort

Dalam pada itu, apabila ditanya mengenai fenomena “troli haram” yang menjadi alternatif pengangkutan sementara oleh sesetengah penduduk, Datuk Shahelmey tidak menafikan kewujudannya. Beliau faham akan situasi yang dihadapi penduduk.

“Dari sudut perundangan, sebenarnya penggunaan troli haram ini adalah tidak dibenarkan. Namun disebabkan mungkin kekangan jumlah perkhidmatan keretapi yang mana penduduk kampung mungkin ada keperluan untuk melakukan perjalanan ke tempat-tempat tertentu maka mereka mengambil inisiatif menggunakan troli haram ini,” jelasnya, mengakui ada permintaan atau ‘demand’ yang mungkin belum dapat dipenuhi sepenuhnya oleh perkhidmatan sedia ada.

image is not available
Sumber foto: Sabah Media

Walau bagaimanapun, aspek keselamatan tetap menjadi nombor satu. Beliau menasihatkan penduduk setempat agar lebih mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi jadual perkhidmatan keretapi yang telah ditetapkan. Ini penting bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, selain mengelak daripada berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah sedang melihat dari sudut perundangan tentang penggunaan ini namun kita mementingkan aspek keselamatan pengguna di sepanjang laluan keretapi ini,” tambah beliau lagi.

Dengan jangkaan jambatan siap pada hujung Julai atau awal Ogos 2025 ini, kita semua mengharapkan agar segala urusan berjalan lancar. Pembukaan semula laluan Tenom-Beaufort pastinya akan memberi impak positif yang besar.

Manakala isu troli haram, mungkin dengan siapnya jambatan dan perkhidmatan keretapi yang kembali normal, ia akan berkurangan secara semula jadi. Apa pun, usaha Jabatan Keretapi Negeri Sabah untuk meneliti aspek perundangan sambil mengutamakan keselamatan pengguna patut diberi pujian.

Sama-samalah kita nantikan perkembangan positif ini. Yang pasti, sinar harapan untuk kemudahan pengangkutan yang lebih baik di Tenom-Beaufort semakin cerah.

Ini pula sebab mengapa kopi Tenom lebih ‘kaw’ daripada kopi yang anda pernah minum: