
Jambatan Muara Lassa bakal menghubungkan Daro dan Pulau Bruit
Jambatan Muara Lassa Di Daro Dijangka Siap Januari 2025. Jambatan Muara Lassa di Daro akan dibuka kepada orang ramai pada Januari tahun depan. Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo, berkata pembinaan jambatan yang menghubungkan Daro dengan Pulau Bruit kini sudah mencapai 96 peratus siap dan mendahului jadual.
“Projek menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan mendahului jadual penyiapan iaitu 96 peratus dan dijangka siap pada Januari tahun hadapan. Tinggal dua bulan lagi untuk disiapkan sepenuhnya dan ia akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada Januari 2025,” katanya, menurut laporan media tempatan.

Aidel memuji kaedah pembinaan ‘river pier’ yang digunakan untuk membuat jambatan di Sarawak. Katanya, Sarawak telah membina sebanyak 16 jambatan besar termasuk di jalan pesisir dan jalan utama kedua menggunakan teknik dan kaedah tersebut. Dengan menggunakan teknik dan kaedah tersebut, pembinaan berjalan dengan lancar dan tidak berlaku kelewatan yang ketara.
Jambatan itu merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak
Beliau memaklumkan projek pembinaan jambatan dari Limbang hingga Kuching yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan dijangka siap pada akhir tahun hadapan atau awal tahun 2026.
Untuk makluman, pembinaan jambatan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2019, namun ia tertunda disebabkan pandemik COVID-19. Jambatan Muara Lassa merupakan antara tiga projek jambatan dibina oleh kerajaan negeri di kawasan pesisir selain Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Batang Igan.
Projek sepanjang 2.43 kilometer ini merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak dan melibatkan kos sebanyak RM597.58 juta.


