Beberapa minggu lalu, kami telah melaporkan bahawa AMD dijangka akan memperlihatkan penawaran cip pemprosesan untuk konsol PC mudah-alih terbaru mereka, AMD Ryzen Z2 pada awal tahun hadapan, mungkin seawal acara CES 2025 di Las Vegas pada awal bulan Januari 2025.
Terkini, nampaknya sejumlah butiran maklumat berkenaan siri cip pemprosesan ini telah tertiris ke arena internet. Golden Pig Upgrade di Bilibili mengatakan bahawa untuk siri cip pemprosesan ini, ia akan hadir dengan tiga model berbeza, berbanding dengan hanya dua yang diperlihatkan pada siri Ryzen Z1.
Ini termasuklah AMD Ryzen Z2 Extreme, AMD Ryzen Z2 dan AMD Ryzen Z2G yang merupakan model ketiga terbaru yang nampaknya akan menguasakan konsol-konsol mudah-alih yang tidak memerlukan prestasi yang begitu tinggi.

Untuk AMD Ryzen Z2 Extreme, maklumat yang tertiris ini memperlihatkan bahawa ia akan menggunakan variasi cip pemprosesan AMD Strix Point yang menggunakan pemproses Zen 5 terbaru dan hadir dengan 12 teras Compute Unit untuk komponen grafik yang memanfaatkan teknologi RDNA 3.5.
AMD Ryzen Z2 pula akan hadir dengan 12 teras CU juga, tetapi menggunakan cip pemprosesan AMD Hawk Point yang lebih cekap dalam penggunaan kuasa dan menggunakan cip grafik RDNA 3. Ia dijangka bahawa cip Ryzen Z2 akan tampil dengan kuasa pemprosesan sama seperti AMD Ryzen Z1 Extreme tetapi dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah.
Untuk AMD Ryzen Z2G pula, ia dilihat bahawa ia akan menggabungkan cip pemprosesan AMD Zen 2 dan juga pemprosesan grafik sama yang digunakan pada cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 Extreme. Walaubagaimanapun, ia dijangka bahawa cip pemprosesan ini hanya akan digunakan untuk menguasakan konsol permainan PC mudahalih dengan harga yang lebih mampu milik dan kemampuan memori dan storan yang lebih rendah.
Setakat ini, AMD masih lagi belum mengatakan apa-apa tentang pengumuman mengenai cip pemprosesan ini, tetapi seperti yang dikatakan, kebarangkalian besar ialah ia akan diperlihatkan pada bulan Januari 2025 di acara CES 2025.

