Jambatan runtuh susulan hujan lebat, laluan utama penduduk terputus - JKR

LocalEnvironment
4 Nov 2026 • 2:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jambatan runtuh susulan hujan lebat, laluan utama penduduk terputus - JKR
Keadaan lokasi kejadian jambatan runtuh di sini pada Rabu.
Image from: Jambatan runtuh susulan hujan lebat, laluan utama penduduk terputus - JKR
Keadaan lokasi kejadian jambatan runtuh di sini pada Rabu.

SUNGAI BULOH - Laluan utama yang menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Paya Jaras Hilir terputus sepenuhnya selepas sebuah jambatan di Jalan Kubu Gajah runtuh awal pagi Rabu susulan hujan lebat.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila arus deras Sungai Subang berikutan hujan lebat menyebabkan tebing sungai berhampiran jambatan terhakis sehingga menjejaskan kestabilan struktur berkenaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, taburan hujan sebanyak 48 milimeter direkodkan di stesen pemantauan Paya Jaras Hilir.

"Arus deras Sungai Subang susulan hujan lebat menyebabkan kerosakan pada tebing sungai berhampiran jambatan sekali gus menjejaskan kestabilan struktur berkenaan," menurut kenyataan itu.

Kejadian itu mengakibatkan sebahagian besar permukaan jalan mengalami kerosakan teruk apabila struktur tar terbelah dan sebahagian laluan runtuh ke kawasan tebing sungai.

JKR memaklumkan, laluan terjejas ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Pelan pengurusan trafik turut disediakan dan dilaksanakan termasuk pemasangan papan tanda amaran, penghadang keselamatan serta papan tanda lencongan.

**media[3699538]**

Pengguna jalan raya yang menuju ke Merbau Sempak dan Kubu Gajah dinasihatkan menggunakan Jalan Merbau Sempak menghala ke Masjid Nurul Iman.

Sementara itu, laluan ke Paya Jaras Hilir masih boleh diakses menerusi Jalan Paya Jaras Hilir dari Laluan Persekutuan 54 (FT54).

Menurut JKR, pemasangan jambatan sementara jenis Bailey akan dilaksanakan sebagai langkah jangka sederhana bagi memulihkan hubungan antara kawasan terjejas.

Jambatan kekal juga akan dibina bagi menggantikan struktur yang runtuh itu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan banjir di beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh susulan hujan lebat awal pagi Rabu sehingga menyebabkan beberapa jalan ditutup dan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved