James Chai dijangka hadir ke SPRM esok

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 6:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: James Chai dijangka hadir ke SPRM esok
SPRM telah mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.

SHAH ALAM - Bekas pegawai Datuk Seri Rafizi Ramli iaitu Chai Jin Shern atau James Chai dijangka hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya untuk direkod keterangan pada Selasa.

Ini bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan berkaitan perjanjian mega dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK) iaitu ARM Holdings Plc.

Menurut sumber, lelaki itu dijangka hadir kira-kira jam 10 pagi.

"Keterangan dia akan diambil untuk membantu siasatan kes," katanya.

Pada 1 April lalu, SPRM dalam kenyataan berkata, James Chai telah dikenal pasti sebagai individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.

Menurut SPRM, pada 4 Mac 2026 agensi berkenaan telah mengeluarkan Notis Mengesan Individu bagi mengesan James Chai sebelum menerima surat daripada Tetuan individu terbabit bertarikh 9 Mac 2026 yang memaklumkan bahawa James Chai tidak dapat hadir untuk dirakam percakapan dengan alasan kos penerbangan dan kekangan pekerjaan.

SPRM kemudiannya telah mengeluarkan surat balas bertarikh 13 Mac 2026 memberi lanjutan masa untuk James Chai hadir pada 31 Mac 2026, namun beliau sekali lagi gagal memaklumkan keinginan untuk hadir.

Berikutan itu, SPRM telah mengeluarkan surat pada 1 April yang menetapkan bahawa James Chai perlu hadir dalam tempoh dua minggu.

Pada 12 Februari, SPRM menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM telah merekod keterangan 17 saksi melibatkan pegawai Kementerian Ekonomi serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).