Isu sistem pekerja asing: Rafizi terima tuntutan saman kedua

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 2:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu sistem pekerja asing: Rafizi terima tuntutan saman kedua
Rafizi menerima satu lagi surat tuntutan saman berhubung isu sistem penggajian pekerja asing.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberitahu telah menerima satu lagi surat tuntutan saman berhubung isu sistem penggajian pekerja asing.

Berdasarkan kenyataan media, bekas Menteri Ekonomi berkata, surat tuntutan terbaharu itu difailkan oleh pengasas dan pemilik Bestinet Sdn Bhd, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor.

Beliau berkata, sebelum ini satu tuntutan saman telah difailkan oleh syarikat sama yang merupakan pengendali sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) dan kes tersebut kini masih berjalan di mahkamah.

“Ini menjadikan tuntutan kedua dihadapinya setakat ini dan saya meminta pasukan peguam saya menguruskan hal ini. Pasukan peguam akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan penilaian mereka,” katanya.

Pada 21 April 2026, media melaporkan, isu FWCMS dan cadangan sistem baharu dikenali sebagai TURAP masih dalam peringkat penelitian kerajaan, dengan pelbagai pihak menekankan keperluan ketelusan, kecekapan serta kepentingan ekonomi dalam pengurusan tenaga kerja asing.

Isnin lalu, sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius laporan media dan reaksi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berhubung cadangan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melaksanakan satu sistem baharu dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) yang dinamakan 'The Universal Recruitment Advanced Platform' (TURAP).

Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa, Ramanan bukan sahaja mengesahkan cadangan TURAP sedang dipertimbangkan, tetapi juga mempertahankan rekod Bestinet yang mengendalikan sistem sedia ada iaitu FWCMS.