Jaminan siasatan menyeluruh: Peguam keluarga Zara gesa henti spekulasi

LocalPolitics
7 Aug 2025 • 4:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Hayati Dzulkifli, Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberi jaminan bahawa polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan tular di media sosial sebelum kematian tragik pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.

Ia susulan hantaran tular mendakwa mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh di sekolah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama SMK Agama Tun Mustapha.

Di TikTok, seorang wanita menggunakan nama SHA_Abrienda mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum diletakkan berhampiran longkang sekolah berkenaan di mana dia ditemui tidak sedarkan diri pada jam 3 pagi.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Wanita yang membuat siaran langsung itu juga mendakwa Zara, seorang pengawas sekolah, dipukul oleh sekumpulan pelajar senior yang tidak berpuas hati selepas dia mencatat nama mereka kerana tidak menunaikan solat.

Jauteh berkata pihak polis menyedari spekulasi tersebut dan mengambil serius perkara berkenaan.

“Kita akan semak terlebih dahulu dakwaan yang dibuat oleh netizen. Biarlah polis menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Daily Express, Rabu.

Ditanya sama ada dakwaan berkenaan mesin basuh akan diambil kira dalam siasatan, beliau mengesahkan ia akan diambil kira.

Kes ini mencetuskan kebimbangan meluas dalam talian, dengan ramai yang mendesak agar siasatan dijalankan secara telus dan segera.

Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan untuk dijalankan tanpa gangguan.

Zara dipercayai menjadi mangsa buli dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili keluarga Zara menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat sahih untuk tampil dan membantu siasatan polis berhubung kematian pelajar itu, daripada terus menyebarkan spekulasi di media sosial.

“Beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Percayalah kepada mereka, walaupun terdapat kesilapan pada peringkat awal apabila tiada bedah siasat dijalankan dan pakaian yang dipakai Zara ketika ditemui tidak sedarkan diri tidak diambil,” kata mereka.

Berhubung dakwaan terbaharu yang tular, mereka berkata tidak mengetahui dari mana individu terbabit memperoleh maklumat tersebut dan menegaskan ia bukan daripada ibu Zara.

Pasukan peguam itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran gambar pelajar serta perkongsian maklumat peribadi dan kenyataan negatif berkaitan mereka.

Menurut mereka, tindakan seperti itu boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, serta Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyiaran senarai nama pelajar yang mengandungi data peribadi juga boleh dianggap sebagai pelanggaran Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami menggesa agar penyebaran kandungan sedemikian dihentikan serta-merta. Mereka yang telah memuat naik bahan tersebut diminta memadamkannya serta-merta,” kata mereka.