Jana Wibawa: PM tiada kuasa arah anugerah dianugerah kepada syarikat tertentu - Saksi

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 6:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jana Wibawa: PM tiada kuasa arah anugerah dianugerah kepada syarikat tertentu - Saksi
Muhyiddin (tengah) yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa hadir bagi perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang dan peraturan perolehan kerajaan untuk mengarahkan sesuatu projek dianugerahkan secara terus kepada mana-mana syarikat tertentu.

Timbalan Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) di Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz, 56, yang ketika itu Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di kementerian berkenaan berkata, kuasa menentukan sama ada sesuatu projek dilaksanakan secara pra-kelayakan atau rundingan terus terletak di bawah bidang kuasa menteri kewangan manakala perdana menteri tiada kuasa membuat keputusan itu.

"Berkaitan dengan penganugerahan projek kerajaan, saya menyatakan bahawa bagi projek bernilai di bawah RM100 juta, kuasa untuk memuktamadkan pelantikan kontraktor terletak pada Lembaga Perolehan kementerian berkaitan.

"Bagi projek bernilai melebihi RM100 juta, Lembaga Perolehan kementerian berkenaan akan mengemukakan syor atau keputusan mereka kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan," katanya dalam pernyataan saksi.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata demikian pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai sama ada terdapat penglibatan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semasa proses perolehan dan penilaian bagi syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd, Zamzuri menjawab ada.

Pada prosiding semalam, Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff menyatakan KCJ Engineering pernah gagal dalam penilaian kontraktor kerana mempunyai projek sakit serta prestasi kerja semasa tidak memuaskan bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata, syarikat kejuruteraan dan pembinaan berkenaan memohon bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas, Negeri Sembilan.

Zamzuri turut bersetuju dengan Wan Shaharuddin bahawa KCJ Engineering pada awalnya tidak berjaya dalam proses penilaian peringkat awal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Jana Wibawa.

Wan Shaharuddin: Kebiasaannya kalau gagal dalam penilaian, ia tidak akan diluluskan dan tidak dipertimbangkan, betul?, Zamzuri menjawab betul.

Saksi itu bersetuju dengan Wan Shaharuddin bahawa PMO mengemukakan maklumat tambahan menerusi surat (Perdana Menteri) bertarikh 13 November 2020.

Wan Shaharuddin: Kenapa PMO bekalkan maklumat tambahan, Datuk tahu ke?, Zamzuri menjawab tidak tahu.

Zamzuri dalam pernyataan saksinya berkata bagi proses penilaian sehingga penganugerahan projek oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada KCJ Engineering Sdn Bhd, beliau mengarahkan Rosni (saksi pendakwaan ke-25) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Kontraktor bagi Program Jana Wibawa untuk membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan kerana syarikat itu disenaraikan dalam Surat Pejabat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020.

"Surat tersebut dihantar kepada Menteri Kewangan (ketika itu) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Kemudian diminitkan kepada saya untuk mengambil tindakan iaitu membuat penilaian terhadap syarikat (KCJ Engineering). Sekiranya nama syarikat itu tidak dinyatakan dalam surat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020, Jawatankuasa Penilaian Kontraktor tidak akan membuat penilaian terhadap syarikat berkenaan kerana penilaian hanya dilaksanakan ke atas syarikat yang dicadangkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

"Apabila KCJ Engineering tidak melalui proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Kontraktor di Kementerian Kewangan, syarikat itu tidak akan berjaya dianugerahkan projek oleh JKR kerana setiap pelantikan kontraktor di bawah Program Jana Wibawa dilaksanakan secara rundingan terus perlu melalui proses penilaian jawatankuasa sebelum rundingan harga dan pengeluaran Surat Setuju Terima diberikan pihak JKR," kata saksi itu.

Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved