
PUTRAJAYA - Seorang lelaki digelar 'Datuk Roy' yang dipercayai perancang utama dalam kes rasuah program Jana Wibawa sedang dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu pernah dituduh di mahkamah sebelum ini dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.
Pada 9 Mac lalu, SPRM telah menahan empat individu berusia 40 hingga 50 tahun termasuk seorang pegawai suruhanjaya itu dan seorang wanita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM400,000 kononnya bagi mengelakkan siasatan kes berkenaan.
Wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM, manakala tiga suspek lain telah direman sehingga 13 Mac ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi pada Ahad mengesahkan perkara tersebut.
"SPRM tidak akan berkompromi sama sekali sekiranya didapati mana-mana pegawai SPRM terbabit dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.


