
Susulan pendakwaan terhadap Wan Saiful Wan Jan dan dua individu lain berkaitan rasuah Jana Wibawa, terdapat kecenderungan daripada Bersatu untuk terus melompat kepada kesimpulan kononnya sasaran sebenar SPRM ialah Muhyiddin Yassin.
Dikatakan Muhyiddin disasarkan bertujuan untuk melemahkan Bersatu dan PN, bukan saja untuk menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi, bahkan bagi mendepani PRU16 akan datang.
Selain ada pemimpin Bersatu yang secara terbuka membuat dakwaan sebegitu, sebuah video daripada individu yang mengaku dirinya sebagai penyelidik bebas kepada Wan Saiful juga turut membuat tuduhan palsu dalam konteks berkaitan terhadap SPRM.
Penyelidik bebas itu menyebut Wan Saiful ditawarkan RM10 juta oleh SPRM sebagai ganjaran jika bekas Ketua Penerangan Bersatu itu sedia memberi keterangan untuk mengenakan Muhyiddin.
Walaupun sudah memohon maaf, penyelidik itu kini sedang ditahan SPRM dan berdepan kemungkinan didakwa kerana mengganggu siasatan.
Kalau ia pun nak membuat tuduhan sedemikian, logiknya daripada mana SPRM nak dapat duit sebanyak RM10 juta itu?
Isunya dalam hal ini, kenapa Bersatu dan PN begitu cepat melompat kepada kesimpulan bahawa Muhyiddin akan didakwa, sedangkan sebagaimana kenyataan terbaru SPRM, siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu masih lagi berjalan?
Apa yang mereka takutkan?
Lagi pun, apa masalahnya jika Presiden Bersatu dan Pengerusi PN itu benar-benar didakwa?
Tidak bolehkah Muhyiddin didakwa di mahkamah jika terbukti ada kesalahan telah diakukannya?
Apakah Muhyiddin seumpama malaikat yang tiada nafsu dan terkecuali daripada melakukan kesalahan?
Berkaitan perkara ini, semua kita, khususnya penyokong Bersatu dan PN, mereka haruslah bersikap terbuka dan berlapang dada terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.
Kalau terbukti ketika memegang jawatan Perdana Menteri sebelum ini, beliau terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa atau konflik kepentingan, misalnya mengarahkan projek Jana Wibawa diberikan kepada anak menantu atau ahli keluarganya atau Bersatu ada menerima wang daripada kontraktor-kontraktor yang diluluskan projek itu, maka bersedialah menerima apa saja kemungkinan.
Pendakwaan sebegitu bukan merupakan pendakwaan terpilih atau kerana dendam, tetapi disebabkan ada kesalahan telah dilakukan.
Jika tiada kesalahan ditemui atau bukti tidak mencukupi, percayalah SPRM tidak akan mendakwa Muhyiddin dengan sesuka hati di penghujung siasatan nanti.
Sama macam kes Najib Razak sebelum ini, walaupun beliau adalah bekas Perdana Menteri, sama seperti Muhyiddin, malah anak Tun Razak lagi, tetapi disebabkan ada kesalahan telah dilakukannya, itulah sebabnya beliau didakwa, dibicara di mahkamah dan kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Jadi, mengambil kira bahawa pendakwaan adalah berasaskan ada kesalahan telah dilakukan, tidak harus ada sebarang masalah atau rasa gundah jika Muhyiddin pun didakwa juga di mahkamah berkenaan Jana Wibawa.
Tiada salah, tiadalah masalah; buat salah, baru timbul masalah.
Shahbudin Husin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

