Jangan ambil kesempatan! Raja-Raja Melayu titah pihak luar usah politikkan krisis takhta Negeri Sembilan

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 8:42 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Raja-Raja Melayu menitahkan supaya mana-mana pihak luar tidak mencampuri urusan atau menjadikan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai medan meraih kepentingan politik dan pengaruh.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa penyelesaian pertikaian berkenaan perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkepentingan dan berautoriti melalui saluran yang sah.

“Isu yang sedang dihadapi, jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan atau ruang untuk meningkatkan pengaruh atau medan untuk memenuhi agenda perebutan kuasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

Isu takhta Negeri Sembilan: Raja-Raja Melayu gesa pihak luar hentikan campur tangan

Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan bercanggah atau tindakan tidak bertanggungjawab hanya akan memburukkan keadaan, mencetuskan ketegangan serta menjejaskan kemuliaan institusi diraja.

Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat dalam pertikaian berkenaan diseru mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adat serta maruah institusi diraja.

Menurut kenyataan tersebut, sebarang perbezaan pendirian perlu ditangani secara beradab menerusi semangat syura dan musyawarah, berpandukan undang-undang serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi.

Image from: Jangan ambil kesempatan! Raja-Raja Melayu titah pihak luar usah politikkan krisis takhta Negeri Sembilan

Dalam masa sama, Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa takhta merupakan amanah besar yang menuntut tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat, bukannya ruang untuk mencetuskan perpecahan.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan khabar angin yang belum disahkan atau terpengaruh dengan naratif yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat.

Raja-Raja Melayu turut menyeru semua pihak memberikan ruang kepada pihak berautoriti untuk menyelesaikan pertikaian tersebut dengan penuh hikmah tanpa campur tangan pihak yang tidak berkaitan.

“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan.
“Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” menurut kenyataan itu.

Image from: Jangan ambil kesempatan! Raja-Raja Melayu titah pihak luar usah politikkan krisis takhta Negeri Sembilan

Kenyataan berkenaan dikeluarkan dengan menjunjung titah Raja-Raja Melayu dan ditandatangani Syed Danial.

Sumber: FB Selangor Royal Office

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved