
PETALING JAYA – Raja-Raja Melayu menyeru semua pihak supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan usaha penyelesaian kepada pihak berautoriti mengikut saluran undang-undang yang sah.
Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Raja-Raja Melayu turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan politik, modal meraih sokongan atau ruang meningkatkan pengaruh bagi memenuhi agenda perebutan kuasa.
Menurut kenyataan itu, sebarang kenyataan bercanggah dan tidak bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja.
“Sebarang perbezaan pendirian hendaklah diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa, secara beradab dan beradat dalam semangat syura dan musyawarah, berlandaskan undang-undang dan berpandukan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, bagi menjunjung titah Raja-Raja Melayu.
Dalam pada itu, Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa takhta merupakan amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat.
Sehubungan itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta kemuliaan institusi diraja perlu sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian.
“Semua pihak hendaklah mengelak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan,” menurut kenyataan itu.
Raja-Raja Melayu turut mengingatkan bahawa sebarang kenyataan atau tindakan tanpa memahami adat, sejarah dan kerangka perlembagaan negeri berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan jadikan krisis takhta NS modal politik – Raja Raja Melayu appeared first on Kosmo Online.

/file/attachments/orphans/mrr12_950676.png)




