Jangan ambil lewa, semak bil makanan elak caj berlebihan - Majlis Tindakan Pengguna Negara Terengganu

LocalBusiness & Finance
3 Oct 2025 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jangan ambil lewa, semak bil makanan elak caj berlebihan - Majlis Tindakan Pengguna Negara Terengganu

image is not available

03/10/2025 - 11:38

Gambar tular media sosial Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 3 Okt – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Terengganu menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap kesilapan pengiraan bil makanan dan minuman di restoran kerana isu itu boleh memberi kesan ketara kepada perbelanjaan harian pengguna.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Terengganu, Datuk Ts. Mohd Faiz Zulkifli berkata, walaupun kelihatan kecil, kesilapan caj yang berlaku berulang kali boleh menjejaskan kepercayaan terhadap peniaga.

“Baru-baru ini tular seorang pengguna dikenakan caj RM42.20 untuk makanan yang berharga RM31.20.

“Jika perkara sebegini tidak diperiksa kerana sikap ambil lewa, ia membebankan dan boleh berulang tanpa disedari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hak Pengguna: Semak Dahulu Sebelum Bayar

Beliau menasihatkan pengguna supaya sentiasa meminta resit rasmi, menyemak bil sebelum membuat pembayaran, bertanya jika ada caj meragukan dan tidak segan meminta semula pengiraan dibuat secara terbuka.

Katanya, hak pengguna dilindungi undang-undang dan sikap berhati-hati dapat mengelakkan kerugian kecil yang berulang menjadi beban besar.

image is not available

Tanggungjawab Peniaga: Telus & Profesional

Dalam masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya lebih bertanggungjawab memastikan integriti perniagaan dengan memaparkan harga yang jelas.

“Peniaga mesti mengeluarkan resit rasmi serta memberi latihan asas perkhidmatan pelanggan kepada pekerja.

“Kesilapan kecil dalam kiraan boleh menjejaskan reputasi besar sebuah kedai. Kepercayaan pelanggan adalah modal sosial paling berharga,” ujarnya.

MTPN turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan, antaranya:

* penggunaan sistem Point of Sales (POS) digital


* resit digital melalui QR Code

* paparan harga elektronik untuk semakan segera

* audit dalaman berkala

* kempen kesedaran Semak Dulu Baru Bayar


Implikasi Ekonomi

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi mencabar, perbezaan RM10 dalam satu bil boleh mencecah ratusan ringgit sebulan bagi pengguna biasa sekiranya kejadian itu kerap berulang.

“Bagi peniaga pula, kealpaan dalam urus niaga akan menjejaskan reputasi dan akhirnya mengurangkan jumlah pelanggan,” jelasnya. - DagangNews.com

standard