Tingkatkan kualiti perkhidmatan, pendigitalan dan kemudahan selesa untuk tarik lebih ramai pelancong ke Terengganu - Majlis Tindakan Pengguna Negara

18/09/2025 - 17:23
Pasar Payang, Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 18 Sept – Industri pelancongan tidak hanya bergantung kepada faktor tunggal seperti keindahan alam semulajadi semata-mata, sebaliknya kualiti perkhidmatan, layanan mesra dan kemudahan terbaik perlu ditingkatkan demi keselesaan pelancong.
Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Negeri Terengganu, Datuk Ts. Mohd Faiz Zulkifli berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menambah baik kualiti perkhidmatan pelanggan terutama dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MPKS) serta hospitaliti.
“Kehadiran pelancong adalah peluang menjana ekonomi rakyat namun, pada masa sama wujud keperluan untuk menjadikan mereka sebagai tetamu yang benar-benar dihargai,” katanya kepada DagangNews.com hari ini.
Layanan Mesra Peniaga dan Pengusaha
Beliau berkata, golongan peniaga, pengusaha kedai makan, pemandu teksi, operator bot, hotel dan inap desa adalah “duta kecil” yang mewakili wajah Terengganu.
“Senyuman dan keramahan mereka selain harga berpatutan serta kesediaan membantu pelanggan mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada pelancong berbanding pemandangan indah alam semulajadi semata-mata.
“Budaya mesra pelanggan perlu diterapkan kerana ini antara faktor utama yang mampu menarik hati pelancong untuk kembali semula ke Terengganu atau mana-mana lokasi yang lain,” katanya.
Kebersihan Premis dan Persekitaran
Selain itu, beliau berkata, kebersihan adalah faktor asas yang mencerminkan sikap rakyat atau penduduk di sesebuah negeri.
“Premis makanan, tandas awam, pasar, dan kawasan tumpuan pelancong perlu sentiasa dijaga.
“Premis yang bersih bukan sahaja memberi keyakinan, malah menjadikan pengalaman pelancong lebih selesa dan menyenangkan. Ia banyak bergantung kepada keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pengurusan sisa buangan serta sikap penduduk tempatan itu sendiri,” katanya.

Kemudahan Mesra Pengguna dan Pendigitalan
Tambahnya, pelancong masa kini menilai pengalaman mereka berdasarkan kemudahan yang diperoleh.
“Contohnya, tempat letak kereta yang tersusun, papan tanda pelbagai bahasa, akses internet berkelajuan tinggi, serta pembayaran tanpa tunai perlu diperluaskan.
“Aplikasi digital khas untuk pelancong Terengganu yang menawarkan maklumat destinasi, jadual pengangkutan dan direktori produk tempatan akan menambah nilai pengalaman mereka.
“Ini juga satu permulaan yang baik untuk Terengganu tidak bergantung kepada pasaran domestik sehingga 70 peratus,” katanya.
Produk Tempatan Sebagai Tarikan Ekonomi
Beliau berkata, produk kraftangan, batik, makanan tradisional dan cenderamata adalah antara produk yang menjadi kegemaran pelancong dan perlu dijadikan fokus penting golonagn usahawan.
“Kualiti produk yang baik, harga munasabah dan penerangan yang jelas akan memberi nilai tambah kepada ekonomi rakyat serta mengukuhkan identiti negeri sebagai pusat warisan dan kreativiti.
“Sebelum ini, sering kedengaran rungutan banyak pihak mengenai lambakan batik tiruan dari negara jiran yang dibeli dengan harga mahal.
“Perkara ini perlu dibanteras segera kerana dikhuatiri akan menjejaskan pasaran kerana pelancong sangat mengutamakan kejujuran dalam transaksi urusniaga,” katanya.
Kelestarian Alam Sekitar
Pantai dan pulau Terengganu adalah aset yang wajib dijaga kerana ia khazanah semulajadi yang masih belum tercemar.
Oleh itu, MTPN Terengganu menyarankan semua pihak bukan sahaja kerajaan, pengusaha pelancongan, masyarakat dan pengunjung perlu memainkan peranan dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
“Kaedah mesra alam, pengurangan penggunaan plastik dan promosi pelancongan lestari (eco-tourism) wajar dijadikan agenda bersama agar khazanah negeri kekal dinikmati generasi akan datang.
“MTPN Terengganu optimis kejayaan sektor pelancongan bukan hanya diukur dengan jumlah kehadiran pelancong, tetapi melalui kepuasan, pengalaman dan kenangan indah yang mereka bawa pulang.
“Harapan kami agar Terengganu terus melangkah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dengan resipi kejayaan yang jelas iaitu mesra layanan, bersih premis, berkualiti servis, lengkap kemudahan dan lestari alam,” katanya. - DagangNews.com
standard


